Friday, May 30, 2014

Pencarian MH370 terus buntu


Gambar bertarikh 14 April lalu, menunjukkan anggota Tentera Laut Australia, menurunkan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 dari kapal Ocean Shield ke Lautan Hindi bagi misi pencarian pesawat MH370. - REUTERS
SYDNEY 29 Mei - Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, sekali lagi buntu selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) percaya, Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.
Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370.
"Data yang dikumpul dalam misi telah dianalisis. JACC boleh menyatakan tiada sebarang tanda serpihan pesawat itu ditemui oleh kapal selam tersebut sejak menyertai operasi mencari ini,'' kata badan itu dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut JACC, kawasan tersebut kini boleh diketepikan sebagai tempat persemadian terakhir pesawat MH370, keputusan yang dilihat akan menyedihkan lagi ahli keluarga penumpang pesawat.
Kapal Australia, Ocean Shield yang membawa kapal selam Bluefin-21 juga telah meninggalkan kawasan perairan tersebut selepas menjelajah dasar laut seluas kira-kira 850 kilometer persegi untuk mencari MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 orang penumpang serta anak kapal.
JACC dalam pada itu menjelaskan, operasi pencarian kini memasuki fasa baharu menggunakan kelengkapan canggih untuk mengimbas dasar Lautan Hindi yang digabungkan bersama semua maklumat serta analisis data bagi menentukan lokasi pencarian baharu.
Tugas itu bakal dilakukan kapal peninjau China, Zhu Kezhen yang berperanan melaksanakan pemetaan dasar laut bermula Ogos ini dan mungkin mengambil masa selama setahun.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut, Tentera Laut AS, Michael Dean berkata, pihaknya percaya, isyarat ping yang dikesan dari dasar laut Lautan Hindi bukan datang daripada kotak hitam MH370.
"Jika ping itu berasal daripada perakam data pesawat atau perakam suara, ia pasti sudah ditemui.
"Teori terbaik yang boleh kami fikirkan ketika ini adalah bunyi ping itu merupakan isyarat dikeluarkan oleh Ocean Shield sendiri atau alat elektronik pengesan ping,'' katanya kepada stesen televisyen, CNN. - AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140530/lu_02/Pencarian-MH370-terus-buntu#ixzz339NMLssg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment