Monday, May 19, 2014

Beijing tuduh ETIM dalang serangan


Beijing: Polis China mendakwa Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) bertanggungjawab terhadap serangan di sebuah stesen kereta api di Urumqi bulan lalu yang mengakibatkan tiga maut kali pertama kumpulan pemisah itu dikaitkan secara langsung dengan serangan berkenaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, jabatan publisiti daerah itu mengatakan anggota ETIM Ismail Yusup merancang serangan berkenaan itu dari luar China.


“Pada 22 April lalu dia mengarahkan 10 rakan di Xinjiang untuk melancarkan serangan,” kata laporan itu.

Mereka kemudian meletupkan bom dan menyerang orang awam menggunakan pisau di pintu keluar Stesen Kereta Api Selatan Urumqi, ibu negeri Xinjiang.


Seramai 79 orang turut cedera dalam serangan pada lewat April itu. Dua anggota kumpulan itu, Saderdin Sawut dan Memetabudula Ete terbunuh dalam letupan berkenaan manakala lapan yang lain ditahan polis.


Polis kini memburu Ismail berhubung kejadian itu malah mendapatkan kerjasama daripada Interpol.

Menurut Xinhua, Ismail dan rakannya itu mula menyebarkan fahaman ekstremis sekitar 2005.

Ismail terpaksa melarikan diri ke luar negara selepas diburu polis atas “kesalahan membuat bahan letupan” sebelum menyertai ETIM pada 2013.

Xinjiang dikenali sebagai Turkestan Timur dalam kalangan Uighur. Golongan itu sering didakwa bertanggungjawab bagi keganasan kerana memperjuangkan pemisahan daripada China. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

No comments:

Post a Comment