Sunday, May 25, 2014

Junta tentera Thai bubarkan Senat



SEJUMLAH penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa berarak ketika anggota-anggota polis dan askar membuat sekatan di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Junta tentera Thailand semalam mengharamkan Dewan Senat menyebabkan kuasa untuk membuat semua undang-undang kini terletak pada tangan jeneral-jeneral tentera.
"Dewan Senat dibubarkan. Tanggungjawab untuk membuat sebarang undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen dan Dewan Senat akan dibuat oleh pemimpin tentera," kata satu pengumuman di televisyen.
Dewan Senat mempunyai 150 anggota dengan separuh daripadanya dipilih pengundi menerusi pilihan raya.
Pengumuman tentang pembubaran itu dibuat Jurucakap Majlis Mengekalkan Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NPOMC), Kolonel Winthai Suwaree.
Pembubaran itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa dewan tersebut akan memilih Perdana Menteri baharu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha yang mengisytiharkan rampasan kuasa pada Khamis lalu kini memegang jawatan Pemangku Perdana Menteri.
Sejak memegang jawatan itu, Prayuth telah memanggil 190 ahli politik dan akademik untuk melaporkan diri kepada pihak berkuasa.
Antara yang menyerah diri adalah bekas Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan yang disingkirkan menerusi rampasan kuasa.
Niwattumrong sebelum ini menjadi Perdana Menteri menggantikan Yingluck Shinawatra yang disingkirkan menerusi Mahkamah Perlembagaan selepas beliau didapati bersalah menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Yingluck merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan tentera pada tahun 2006.
Turut berada dalam senarai 190 orang yang ditahan itu ialah ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban yang mengetuai tunjuk perasaan antikerajaan selama tujuh bulan di Bangkok.
Yingluck turut ditahan selama seminggu di sebuah pangkalan tentera sejak Jumaat lalu.
Menurut Penolong Jurucakap Tentera Thailand, Kolonel Weerachon Sukondhapatipak, semua pemimpin dilayan dengan baik dan mereka ditahan supaya satu kompromi politik dapat dicapai.
"Ia merupakan satu usaha untuk setiap orang yang terlibat dalam konflik itu bertenang dan mempunyai masa untuk berfikir (mencapai kompromi politik," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz32g0Rk3Hl 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment