• Pasukan keselamatan menghalang protes dari memasuki ibu negara Bangkok, semalam.Pasukan keselamatan menghalang protes dari memasuki ibu negara Bangkok, semalam.

BANGKOK - THAILAND. Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan beberapa ahli keluarganya ditahan tujuh hari, menurut jurucakap tentera, semalam.

Kolonel Winthai Suvaree memaklumkan, tempoh tahanan itu mungkin dilanjutkan bergantung kepada penglibatan mereka dalam krisis politik di negara itu.

Bagaimanapun, junta tentera enggan mendedahkan lokasi tahanan ditempatkan.

"Kesemua mereka ditahan mengikut undang-undang tentera dan berada dalam keadaan baik," katanya kepada AFP.

Difahamkan, tentera juga tidak memberi butiran sama ada kesemua tahanan akan didakwa sepanjang tempoh tersebut.

Sehingga kini, media gagal mendapat pengesahan sama ada rampasan kuasa itu mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej.

Kelmarin, Yingluck bersama pemimpin parti Puea Thai dan kerajaan sementara dipanggil untuk berbincang mengenai konflik yang sedang melanda negara itu selepas tentera merampas kuasa, Khamis lalu.

Dalam perkembangan lain, pasukan keselamatan bertindak menghalang protes disertai kira-kira 50 penunjuk perasaan di kawasan kejiranan di utara ibu negara.

"Kami bukan penyokong Baju Merah. Kami hanya mahu kerajaan demokrasi dan bukan yang dipimpin junta tentera seperti pada masa ini," kata seorang penunjuk perasaan.