Teluk Intan: “Saya bukan pengkhianat Melayu...saya tak kisah apa orang kata,” kata calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak mengatakannya sebagai pengkhianat Melayu selepas membuat keputusan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan mewakili DAP.
Menurutnya, tanggapan itu tidak menjejaskan dirinya, malah dia akan meneruskan perjuangan terutama meraih sokongan penduduk kawasan berkenaan.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, terpulang kepada orang ramai untuk mengatakan apa saja mengenai dirinya, namun yang penting dia tidak mengkhianati bangsanya.
“Saya tidak mengkhianati kaum Melayu...apa saja dakwaan (orang ramai) ia tak menjejaskan apa-apa.
“Saya bertanding bukan untuk ‘menjual’ Dyana Sofya, tetapi membawa suara parti,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan DAP di sini, semalam.
Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang itu diumumkan calon mewakili parti itu pada PRK itu manakala Barisan Nasional (BN) pula meletakkan Datuk Mah Siew Keong, 53, yang juga Presiden GERAKAN sebagai calon.
Menjawab soalan mengenai dia yang terpaksa menggunakan pengaruh Lim, Dyana Sofya tidak menafikannya, malah mengakui ia akan membantu dirinya pada PRK itu.
Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan dirinya sekadar ‘window dressing’ atau peragaan untuk DAP menarik pengundi, Dyana Sofya berkata, dia menghormati pendapat beliau.
Malah, dia turut mengagumi Dr Mahathir yang berjaya mendidik anak-anaknya hingga berjaya.
“Saya terima pendapat beliau serta menghormatinya sebagai pemimpin negara serta berjaya mendidik anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Dyana Sofya berkata, jika terpilih, isu pertama yang akan dibawa ialah kenaikan harga barang.
No comments:
Post a Comment