Singapura: Google semalam memadam sebuah blog didakwa menyebarkan kebencian terhadap warga Filipina di Singapura dan menggalakkan perkauman di negara itu.
Jurucakap polis berkata semalam, siasatan sedang dilakukan ke atas blog “Blood Stained Singapore” yang mencadangkan rakyat negara itu tidak harus menerima layanan daripada petugas warga Filipina di mana-mana restoran, selain menyarankan mereka ‘disodok’ secara tidak sengaja di tempat awam.
Dalam satu artikel bertajuk “Serangan Filipina di Singapura - 5 panduan untuk menunjukkan sikap tidak hormat tanpa melanggar undang-undang,” blog itu menasihati rakyat Singapura supaya tidak membantu mereka jika berlaku kemalangan.
Blog itu mula disiarkan Mei lalu.
Jurucakap Google berkata, mereka memadamkan blog berkenaan kerana ia melanggar peraturan dengan mengedarkan kandungan yang menggalakkan kebencian kaum.
Jumlah warga Filipina di Singapura ketika ini dianggar lebih 170,000 orang dengan kebanyakan mereka adalah golongan profesional.
Bagi sesetengah pihak, warga Filipina dianggap menjadi saingan besar ke atas penduduk tempatan walaupun suatu ketika dulu mereka hanya bekerja sebagai pembantu rumah.
Singapura kini didiami 5.4 juta penduduk dengan kira-kira 60 peratus daripadanya adalah warga tempatan.
Bagaimanapun negara itu mengalami kadar kesuburan rendah memaksa kerajaan untuk bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing.
Kemasukan pekerja asing - kebanyakan dari China dan India - telah mencetuskan peningkatan sentimen antiimigran.
Duta Filipina menggesa tindakan dikenakan ke atas penulis laman blog berkenaan serta orang yang menyokong sentimen antiperkauman.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21
No comments:
Post a Comment