Saturday, June 21, 2014

Malaysia, Thailand didakwa gagal banteras pemerdagangan manusia


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menamakan Thailand, Malaysia dan Venezuela semalam sebagai antara yang menduduki tempat tercorot senarai negara yang didakwa gagal membanteras pemerdagangan manusia.
Tiga negara itu di samping Gambia menyertai beberapa lagi negara seperti Iran, Korea Utara dan Syria yang dikecam Jabatan Negara AS kerana terlibat dalam pemerdagangan manusia.
Senarai tahunan tersebut dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.
Negara-negara yang berada pada kedudukan terbawah senarai itu berisiko dikenakan sekatan oleh AS.
Senarai itu menyatakan, berpuluh-puluh ribu mangsa pemerdagangan manusia berakhir di Thailand sebagai migran yang dipaksa, dipujuk atau ditipu untuk menjadi buruh atau dieksploitasi sebagai pelacur.
"Usaha penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan manusia masih tidak mencukupi berbanding skop meluas masalah itu di Thailand," kata laporan itu.
Selain Thailand, Malaysia turut diturun taraf di kumpulan Tier 3 kerana tidak mengendahkan amaran supaya mewujudkan pelan mengikut standard minimum AS untuk menghapuskan pemerdagangan manusia.
Banyak agensi pekerjaan Malaysia didakwa membawa masuk pekerja yang berhutang kepada penyeludup manusia dan terpaksa bekerja di ladang, bot nelayan atau pelacur.
Namun, menurut senarai sama, pendakwaan berhubung kes pemerdagangan manusia pula meningkat pada 2013 kepada 9,460 kes berbanding 7,705 pada 2012, manakala lebih 44,750 mangsa turut dikenal pasti.
Daripada 188 negara yang berada dalam senarai tersebut, kira-kira 15 diturun taraf berbanding tahun lalu, manakala 15 lagi mencatat kenaikan atas usaha mereka menangani pemerdagangan manusia.
Antara negara yang mendapat keputusan positif termasuk Chile dan Switzerland yang kini menduduki kumpulan Tier 1 bersama Britain dan AS. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz35E96SWVw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment