Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penolong Naib Canselor (PNC) Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT UiTM Shah Alam, kerajaan memutuskan untuk menggunakan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) ekoran empat manfaat.
“Kerajaan memutuskan menggunakan kaedah PFI kerana projek dapat dilaksanakan dengan segera melalui pembiayaan pihak swasta setelah projek mendapat kelulusan Kerajaan. Pembayaran kepada syarikat konsesi hanya bermula setelah projek siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Kerajaan.
"Projek PFI dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa pelanjutan masa. Sekiranya projek tidak disiapkan atau lewat disiapkan, syarikat konsesi tidak akan mendapat sebarang bayaran.
"Jadi, tidak timbul isu menyelamatkan projek memandangkan risiko pembinaan merupakan tanggungjawab syarikat konsesi yang mana projek tersebut akan diserah kepada Kerajaan apabila ia siap sepenuhnya,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, melalui PFI, UiTM tidak perlu mengeluarkan kos peyenggaraan serta menerima bangunan tersebut dalam keadaan baik pada tempoh berakhir konsesi tersebut.
"Pembayaran balik kepada syarikat konsesi adalah termasuk bayaran untuk penyenggaraan dan penggantian komponen utama seperti sistem pendawaian dan lif. Sehubungan itu, pihak UiTM tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyenggara dan penggantian komponen utama dalam tempoh 20 tahun.
"Dengan adanya penyenggaraan ini, UiTM akan menerima bangunan ini pada akhir tempoh konsesi dalam keadaan baik dan seperti baru.
"Syarikat Konsesi bagi projek UiTM ini dibenarkan untuk membuat refinancing dan keuntungan daripada pelaksanaan tersebut dikongsi sama rata dengan pihak kerajaan,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru itu, UiTM memilih kaedah PFI kerana ia merupakan perolehan yang cepat di samping mempunyai ’value for money’ kerana proses penilaian yang ketat melalui bengkel pengurusan nilai serta berkongsi pengurusan risiko projek dengan syarikat yang melaksanakan projek tersebut.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa kerajaan terpaksa menanggung bayaran konsesi bagi enam kampus cawangan UiTM berjumlah RM8.6 bilion setelah menandatangani perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan enam syarikat konsesi.
Rafizi turut mendedahkan beberapa kampus cawangan universiti itu dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan Umno termasuk ahli politik parti itu.
No comments:
Post a Comment