Tuesday, June 24, 2014

KADAR JENAYAH MENINGKAT TANDA HILANG BERKAT



Pemimpin yang adil akan memberikan kesan kebaikan dan keamanan kepada kehidupan rakyat jelata. Malik bin Dinar dan selainnya meriwayatkan bahawa pada zaman pemerintahan 'Umar bin 'Abd al-'Aziz berkat keadilannya sehinggakan serigala pun tidak mengganggu kambing ternakan . Para pengembala kambing yang tidak tahu bahawa pemerintah yang baru iaitu 'Umar bin 'Abd al-'Aziz telah memegang tampok kuasa, mereka bertanya: "Siapakah orang soleh yang memegang jawatan khalifah sekarang? Berkat keadilannya telah menyelamatkan ternakan kami dari serigala"

Ertinya keadilan yang tulus dari pemimpin akan menyebabkan kadar jenayah menurun dan rakyat merasa aman hidup dalam sesebuah pemerintahan.
Apabila jenayah meningkat sehingga bukan sahaja serigala menyerang ternakan, bahkan ibubapa dan anak-anak menjadi penjenayah yang mengancam kehidupan satu sama lain apatahlagi jiran dan masyarakat sekeliling, ertinya tiada nilai keadilan yang diberkati Allah dalam sesebuah masyarakat. Ia satu amaran kepada kita semua.
Ini bererti adanya penyelewengan yang Allah murka terhadap tanggungjawab keadilan dan amanah sedang berlaku. Ini selaras dengan firman Allah:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
(maksudnya) "Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (atau jadi jadikan) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat atau menguasai keadaan negeri), lalu mereka melakukan kefasikan padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.(Surah al-Isra' ayat 16)

Ibn 'Abbas menafsirkan ayat ini dengan maksud Allah jadikan golongan yang kaya-raya menguasai negara ataupun negeri lalu mereka melakukan kemungkaran ataupun penyelewengan maka azab Allah pun diturunkan.

Semoga setiap kita berhati-hati dengan perkembangan jenayah mutakhir yang sering mengancam keamanan kehidupan rakyat. Hanya keadilan yang Tuhan berkati sahaja yang mampu menyelamatkan kita.

No comments:

Post a Comment