Singapura: Sesetengah penganut Kristian menyertai Muslim Singapura menggesa orang ramai memakai pakaian putih hujung minggu ini sebagai protes perarakan tahunan keenam Pink Dot anjuran aktivis gay.
Tahun lalu perarakan itu disertai 21,000 orang dan dilangsungkan hanya beberapa bulan selepas mahkamah tinggi Singapura menolak petisyen supaya undang-undang melarang seks sejenis dipinda.
Minggu lalu seorang ustaz, Noor Derus, melancarkan gerakan WearWhite dan menyeru Muslim Singapura menjauhi perarakan Pink Dot yang dijadual Sabtu ini.
Mereka juga diseru memakai pakaian putih untuk berdoa pada malam itu yang dijangka menjadi malam pertama Ramadan tahun ini.
Akaun Facebook kempen itu menarik lebih 3,000 “Like.” Gerakan berkenaan kemudian menarik sokongan pemimpin Gereja Baptis Faith Community, Lawrence Khong serta rangkaian gereja LoveSingapore.
Khong kemudian menggesa pengikutnya berpakaian putih ketika menghadiri acara di gereja itu hujung minggu ini.
“Tindakan ini dibuat sebagai tanda sokongan mempertahankan pendirian rasmi kerajaan dalam isu berkenaan.
“Kami tidak boleh menerima homoseksual.
“Kami akan terus menolak sebarang promosi hubungan sejenis sebagai cara hidup alternatif,” katanya.
- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24
No comments:
Post a Comment