Wednesday, June 25, 2014

Kedah rampas tanah dijadikan ladang ketum - Mukhriz


2014/06/25 - 20:55:31

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Semasa mengeluarkan amaran itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata seksyen dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh merampas tanah-tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan ladang ketum.

"Kerajaan negeri tidak teragak-agak merampas tanah itu jika didapati bersalah (menanam ketum) dan pemilik-pemilik tanah persendirian juga tidak terkecuali menerima tindakan sama jika menanam pokok ketum.

"Ini kerana penanaman ketum adalah satu kesalahan di negeri ini walaupun masih belum ada akta yang melibatkan ketum diwartakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis serta Pejabat Tanah dan Galian juga menyalurkan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan menanam ketum.

"Undang-undang sedia ada memperuntuk hukuman denda dan pesalah yang melakukan kesalahan berulang kali juga dikenakan denda sama.

"Oleh itu, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau dan rakyat Kedah berbangga dengan pelantikan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Mukhriz berkata beliau akan membuat temu janji awal dengan Liow bagi membincangkan mengenai pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment