• Lim Guan EngLim Guan Eng

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Malaysia Airlines (MAS) didakwa hanya menjadi lubuk kepada kontraktor swasta untuk mengaut keuntungan sedangkan syarikat penerbangan negara itu saban tahun mencatatkan kerugian.

Lim Guan Eng (Bagan-DAP) berkata syor penutupan MAS wajar dilakukan segera bagi menghentikan segera amalan pemberian kontrak MAS secara berat sebelah tanpa melalui tender terbuka.

"Tidak masuk akal di kala MAS mencatatkan kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan, syarikat swasta pula terus mencatat keuntungan setiap tahun.

"Tidak wajar menyediakan pelan pemulihan kewangan MAS, tambahan pula selepas insiden MH370 syarikat penerbangan itu akan terus menerus mengalami kerugian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata demikian mengulas lanjut jawapan bertulis Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam mengenai pertanyaan beliau tentang syor penutupan MAS yang mencatatkan kerugian sehingga RM4.1 bilion sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun jawapan menteri terbabit mengecewakan beliau apabila kebarangkalian MAS ditutup tidak timbul kerana hala tuju syarikat penerbangan itu masih belum diputuskan.

Manakala implikasi kewangan kepada kerajaan pula adalah berdasarkan keputusan yang akan ditentukan kelak.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menambah, bagi mengatasi masalah kerugian berlarutan itu, beliau mencadangkan agar MAS ditutup dan digantikan dengan sebuah syarikat penerbangan baharu.

"Syarikat baharu itu perlu membuat tender terbuka dalam memberikan kerja-kerja operasi penerbangannya, tidak boleh lagi rundingan terus.

"Malah pekerja MAS juga boleh dipindahkan ke syarikat baharu ini agar kebajikan mereka terjaga daripada kehilangan pekerjaaan," katanya lagi.