Thursday, July 3, 2014

Bertanggungjawab merekrut jadi pengebom


Sebuah rumah di Shah Alam dipercayai dijadikan lokasi pertemuan Dr. Mahmud Ahmad dengan pemimpin-pemimpin militan rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara.
KUALA LUMPUR 2 Julai - Seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr. Mahmud Ahmad, 36, dipercayai menjadi individu yang bertanggungjawab mengurus dan merekrut rakyat Malaysia untuk berperang di negara bergolak termasuk menjadi pengebom berani mati.
Sumber keselamatan mendedahkan, pemegang Ijazah Kedoktoran Akidah & Pemikiran Islam itu telah merekrut dan menguruskan sekurang-kurangnya empat rakyat Malaysia ke Syria bagi menyertai perjuangan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) sejak 5 Mac lalu.
Menurutnya, antaranya termasuklah seorang pekerja kilang dari sebuah daerah di Pahang, Ahmad Tarmimi Maliki yang dilaporkan maut setelah menjadi pengebom berani mati dalam tragedi di Ibu Pejabat Swat Iraq Di Al-Anbar, Iraq, pada 26 Mei lalu.
"Mahmud juga disyaki pernah menerima latihan ketenteraan di kem Kumpulan Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di Universiti Islam Islamabad, Pakistan.
"Kita percaya dengan kepandaian dan kepakarannya, dia berperanan untuk merekrut seterusnya menguruskan penghantaran 'anak-anak' didiknya ke Syria bagi menyertai perjuangan ISIL," katanya sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, Mahmud disenaraikan antara lima individu yang diburu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan satu kumpulan militan yang dipercayai mahu berperang di negara-negara bergolak.
Turut diburu, pemilik kedai fotostat di universiti berkenaan, Mohd. Najib Husen, 36; kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39; Mohd. Amin Baco, 31, seorang penganggur dan Jeknal Adil, 30, yang bekerja sebagai buruh kasar.
Sumber seterusnya memberitahu, siasatan mendapati Mahmud bergiat aktif dalam kegiatan militan malah dipercayai telah beberapa kali mengatur pertemuan antara pemimpin-pemimpin militan dari Rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor.
"Matlamat mereka adalah untuk menubuhkan negara Daulah Islamiah di Asia Tenggara. Malah, Mahmud turut merancang untuk menculik bekas-bekas pelajar yang pernah terlibat bersamanya kerana khuatir maklumat mengenai kegiatan mereka bocor ke tangan pihak berkuasa," katanya.
Mengulas tentang Mohd. Najib, sumber itu memberitahu, lelaki tersebut turut berperanan merekrut rakyat negara ini untuk menjadi militan dan dipercayai kini masih lagi bersembunyi di Selatan Filipina bersama Mahmud.
"Kedua-dua mereka telah berlepas ke selatan Filipina pada 22 April 2014 dan dipercayai telah berbai'ah dengan Amir (ketua) sebuah kumpulan militan di Basilan, Selatan Filipina. Di sana mereka menjalani latihan ketenteraan bersama kumpulan tersebut," katanya.
Sementara itu, kata sumber, Mohd. Amin merupakan suspek yang telah lama diburu polis dan namanya telah beberapa kali disebut oleh pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.
Katanya, Mohd. Amin atau Abu Jihad sebelum ini didedahkan pihak berkuasa Filipina bersembunyi di Mindanao bersama seorang lagi warga Malaysia. Zulkifli Hir serta Muawiyah (Singapura), Saad (Indonesia) dan Qayyim (Indonesia).
"Dia merupakan anggota Kumpulan Darul Islam (DI) Sabah dan telah menyertai latihan ketenteraan bersama kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina sejak 2005.
"Dia disyaki pernah terlibat dalam penyembelihan lima penduduk selatan Filipina pada 2011. Video rakaman penyembelihan tersebut pernah disiarkan di laman sosial Youtube, akhir tahun itu. Malah, polis juga percaya, dia turut terlibat dalam penculikan dua pengusaha sarang burung walit di Felda Sahabat 15, Lahad Datu, Sabah pada 14 November 2012," katanya.
Mengulas tentang Jeknal Adil, 30, sumber berkata, suspek pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak selama lima tahun sejak 2006.
"Jeknal telah menyertai latihan ketenteraan Abu Sayyaf pada 2005 dan sehingga kini masih menganggotai kumpulan itu di selatan Filipina," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140703/je_03/Bertanggungjawab-merekrut-jadi-pengebom#ixzz36M9zjgGB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment