Thursday, July 3, 2014

'Dr. Mahmud ibarat ayah' - pelajar UM


Bilik Dr. Mahmud Ahmad di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dipercayai kosong sejak awal tahun ini.
KUALA LUMPUR 2 Julai - "Tutur kata dan sifatnya bagaikan ayah buat kami di sini." Itu antara gambaran yang diberikan seorang pelajar kepada Dr. Mahmud Ahmad, pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), yang diburu polis kerana terlibat dalam aktiviti militan di negara-negara bergolak.
Menurut pelajar Semester Tujuh Pengajian Akademik dan Pemikiran Islam yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, Dr. Mahmud seorang yang peramah dan begitu baik dengan pelajar-pelajarnya.
"Dia tidak gemar untuk memarahi pelajar-pelajarnya sebaliknya jika ada sesuatu yang kurang disenangi, dia akan menegur kami dengan tutur-kata yang sopan.
"Malah kami di sini mengibaratkan sifatnya seperti seorang ayah kerana gemar mengambil berat tentang pelajaran pelajarnya. Dia banyak memberi bantuan kepada saya jika ada sesuatu yang kurang jelas," katanya ketika ditemui di fakulti berkenaan.
Nurul memberitahu, dia terkejut dan tidak menyangka, pensyarahnya itu terlibat dalam aktiviti militan kerana sifat luarannya yang baik.
"Saya tidak boleh mengatakan dirinya jahat kerana dia didakwa terlibat dalam aktiviti radikal ini. Jika benar sekalipun dia terlibat itu soal peribadinya kerana saya mengenali dia sebagai pakar akademik yang banyak membantu saya dalam pelajaran," katanya.
Salah seorang pelajar UM yang mahu dikenali sebagai Mohammad memberitahu, dia mengenali Dr. Mahmud sebagai seorang yang profesional dan hanya bercerita tentang soal akademik sahaja.
"Tidak pernah saya mendengar atau melihat kawan-kawan saya didekati beliau untuk tujuan merekrut untuk bersamanya. Sepanjang dua semester dia menjadi pensyarah saya, dia seorang yang sangat profesional dan hanya menumpukan soal pelajaran sahaja.
"Malah kami juga mengenali dia sebagai penceramah kerana ilmu dan kepakarannya amat cemerlang terutama sekali dia merupakan pakar dalam kajian Bible. Saya juga pernah mendengar dia berkongsi pengalaman tentang bidangnya, ketika menjadi tetamu di sebuah radio berunsur keislaman sebelum ini," katanya.
Jelasnya, ramai rakan-rakannya mengetahui tentang Dr. Mahmud diburu polis setelah mendapat maklumat terkini dari Internet dan menolak dakwaan, pensyarahnya itu seorang yang radikal di pusat pengajiannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140703/je_04/Dr-Mahmud-ibarat-ayah---pelajar-UM#ixzz36M9F2Wa0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment