Thursday, July 3, 2014

Rakyat Malaysia tolak militan


Sekumpulan anggota militan menaiki trak dalam satu perarakan di utara wilayah Raqqa, Syria, Isnin lalu. Satu tinjauan semalam menunjukkan, majoriti penduduk negara Islam bimbang aktiviti kumpulan pelampau agama semakin berleluasa. - REUTERS
WASHINGTON 2 Julai - Majoriti penduduk Islam di negara Asia, termasuk Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti kumpulan pelampau agama di negara masing-masing, lapor satu tinjauan semalam.
Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew itu, sebanyak 63 peratus penduduk Malaysia khuatir tentang hal tersebut, manakala 69 peratus penduduk Bangladesh dan 66 peratus rakyat Pakistan turut bimbang tentang aktiviti kumpulan berkenaan.
Tinjauan yang membabitkan 14,200 orang dari 14 buah negara itu turut menunjukkan hanya segelintir penduduk Indonesia menyuarakan kebimbangan tentang perkara itu.
Tinjauan itu diadakan pada 10 April hingga 25 Mei lalu, sebelum Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) menawan bahagian utara bandar Mosul di Iraq, baru-baru ini.
Sokongan terhadap kumpulan al-Qaeda, Hezbollah, Boko Haram turut dilihat semakin menurun dalam tinjauan berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 92 peratus penduduk Lebanon dan 62 peratus penduduk Jordan berkongsi kebimbangan yang sama memandangkan negara mereka terletak di sempadan dengan Syria dan telah menerima sebilangan besar pelarian negara berkenaan sejak pertempuran meletus tiga tahun lalu.
Tinjauan itu juga mendapati, 79 peratus penduduk Nigeria pula menentang Boko Haram yang telah menculik lebih 200 pelajar perempuan awal tahun ini, manakala 59 peratus rakyat Pakistan mengakui, mereka tidak menyokong Taliban. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140703/lu_01/Rakyat-Malaysia-tolak-militan#ixzz36MCKVqMc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment