Friday, July 11, 2014

Fitnah: TV3 diperintah bayar ganti rugi RM80,000


PUTRAJAYA 10 Julai - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), dan empat yang lain membayar ganti rugi RM80,000 kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Nurul dan suaminya, berhubung tuntutan saman kerana menyiarkan gambaran visual bersifat fitnah dalam rancangan Melodi pada 2011.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zaharah Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian rayuan perayu-perayu terhadap jumlah ganti rugi.
Kuorum berkenaan mengurangkannya daripada jumlah RM250,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Disember 2013.
Panel itu bagaimanapun menolak rayuan kelima-limanya terhadap liabiliti.
Mahkamah Tinggi membenarkan saman Nurul atau Nurullah Zawawi, 32, dan suaminya Mohd. Munzil Muhamad, 31, yang dikemukakan terhadap TV3; penerbit rancangan Melodi, Azman Abd Ghafar; wartawannya Michelle Wee Lili; syarikat Alt Media Sdn. Bhd., dan abang kandung Nurul iaitu Bustamam Zawawi.
Mahkamah juga memutuskan kesemua defendan gagal membuktikan pembelaan masing-masing dalam kes saman itu.
Pada 5 September 2011, Nurul dan suaminya memfailkan saman terhadap kesemua defendan selepas rancangan Melodi pada 26 Jun 2011, menyiarkan kenyataan berhubung isu perkahwinan mereka yang didakwa berunsur fitnah berserta gambar visual yang merujuk kepada pasangan itu.
Mereka juga mendakwa perkataan serta gambar visual yang disiarkan dalam rancangan itu memberi gambaran bahawa perkahwinan mereka tidak sah di sisi undang-undang dan mereka tidak menghormati ibu bapa serta keluarga.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun berpuas hati bahawa perkahwinan Nurul dan suaminya adalah sah mengikut perintah Mahkamah Syariah Hulu Langat yang mengesahkan pernikahan pasangan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140711/ma_01/Fitnah-TV3-diperintah-bayar-ganti-rugi-RM80000#ixzz376nmk9CM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment