Friday, July 11, 2014

Video pemuda mengaji dalam penjara disiasat


KUALA LUMPUR 10 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen sedang menyiasat rakaman video yang memaparkan seorang pemuda sedang mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dipercayai dari dalam lokap atau penjara.
Difahamkan, siasatan berkenaan untuk menentukan sama ada video berkenaan dirakam di Malaysia atau di luar negara.
Setakat ini, kedua-dua agensi berkenaan juga dikatakan sedang menyemak rekod orang kena tahan bagi mengenal pasti identiti sebenar pemuda dalam rakaman video tersebut.
Menerusi rakaman amatur berdurasi 2 minit 29 saat itu, pemuda yang tidak memakai baju dan hanya berseluar berwarna jingga (dipercayai pakaian lokap) membaca beberapa potong ayat al-Quran sambil dirakam oleh seseorang.
Rakaman itu dikatakan dibuat di dalam penjara berdasarkan beberapa tirai besi yang dapat dilihat dalam video terbabit.
Video berkenaan menjadi viral di laman-laman sosial seperti Facebook ekoran ramai yang memuji kelunakan suara pemuda berkenaan.
Ada antara pengguna Facebook mendakwa, pemuda itu berasal dari Myanmar dan belajar di sebuah pusat pengajian Islam, Miftahul Ulum yang terletak di Sri Petaling.
Dia kemudian didakwa telah ditahan kerana tinggal lebih masa di Malaysia.
Ekoran ‘penahan’ itu, ramai pihak dikesan cuba menghentam pihak berkuasa khususnya polis kerana beranggapan pemuda yang mampu mengalunkan ayat al-Quran tidak sepatutnya dipenjara.
Sementara itu, jurucakap Miftahul Ulum ketika dihubungi Utusan Malaysia mendakwa, pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti pelajar terbabit dan tiada bukti kukuh yang mendakwa lelaki itu merupakan pelajar pusat pengajian Islam itu.
"Berdasarkan rakaman dan wajah pemuda itu, kami tidak kenal dan tidak pernah melihat pemuda itu belajar di sini. Namun begitu, kami sedang menyemak tentang profil pelajar kami ekoran dakwaan yang mengaitkan madrasah kami.
"Ingin kami tegaskan, setiap pelajar asing di Miftahul Ulum mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana kami mempunyai pegawai yang akan memeriksa dan menguruskan perkara itu. Walaupun benar dakwaan itu, pihak berkenaan silalah datang berjumpa kami bagi mengelakkan perkara lain timbul," katanya.
Katanya, Miftahul Ulum ketika ini mempunyai 330 pelajar di situ namun masjid di pusat pengajian tersebut sering dikunjungi ribuan pendakwah pelbagai negara untuk berdakwah dan menumpang rehat setiap hujung minggu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata, pihaknya sedang menyiasat kewujudan video itu dan perkembangan lanjut akan dikongsi kepada orang ramai nanti.
"Secara umumnya, setiap penahanan yang dilakukan Jabatan Imigresen adalah berdasarkan undang-undang dan penahanan mengikut Akta Imigresen tidak mengira agama, pangkat atau kebolehan seseorang.
"Saya nasihati jangan sensasikan sebab melihat rakaman orang di dalam penjara, semak dahulu dan ketahui tentang perkara sebenar. Penguat kuasa tidak menahan seseorang tanpa melibatkan kesalahan," katanya.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah memberitahu, tiada penahanan yang menyamai individu dalam video berkenaan.
"Saya telah mengarahkan balai khususnya di Sri Petaling untuk membuat semakan dan setakat tiada yang menyerupai dia. Semakan sama turut dibuat di sekitar balai di ibu negara," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_07/Video-pemuda-mengaji-dalam-penjara-disiasat#ixzz376pFDK6S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment