Friday, July 11, 2014

Selangor kaji sampel tulang


2014/07/10

Ladang ternakan ikan di Batu Arang, Kuang dipantau

Shah Alam: Tulang dipercayai dari haiwan yang ditemui di dua ladang ternakan ikan keli dan patin tidak berdaftar di negeri ini, masing-masing di Batu Arang dan Kuang, sudah dihantar untuk ujian makmal.

Pengarah Perikanan Selangor, Mohd Sufian Sulaiman, berkata tulang terbabit ditemui pihaknya selepas menjalankan pemeriksaan di sekitar dua lokasi itu, kelmarin.

“Kami jumpa tulang, tapi perlu jalankan kajian untuk memastikan ia tulang haiwan apa. Pada masa ini, kami sedang menunggu keputusan ujian DNA terhadap tulang yang ditemui itu.


Beri amaran

“Kami juga sudah memberi amaran kepada penternak supaya tidak melakukan kesalahan dan sekiranya amaran tidak diendahkan, tindakan tegas akan diambil termasuk menyita ladang mereka,” katanya kepada BH, semalam.

Mohd Sufian berkata, di Selangor, terdapat lebih 10,000 kolam ternakan ikan yang berdaftar dan pihaknya akan terus membuat pemantauan ke atas semua kolam terbabit dengan lebih terperinci bagi memastikan ternakan yang diberi makan bangkai babi, tidak dijual kepada umum.
“Kami juga sedang mengenalpasti semula kolam ternakan yang ada di Selangor termasuk yang tidak berdaftar dan akan membuat pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, penternak perlu mematuhi Akta Makanan 1983, yang bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan menggunakan makanan serta perkara yang berkaitan dengannya demi memastikan hasil ternakan tiada unsur babi.

No comments:

Post a Comment