Monday, July 21, 2014

Gambar asap selepas pesawat MH17 ditembak jatuh



GAMBAR menunjukkan asap putih (dalam bulatan) kelihatan beberapa saat selepas sebuah peluru berpandu menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia di Grabovo, Ukraine kelmarin.


GRABOVO - Sekeping gambar menunjukkan jejak asap putih di langit beberapa saat selepas sebuah peluru berpandu menembak jatuh sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dekat sini pada Khamis lalu.
Peluru berpandu buatan Rusia itu dipercayai ditembak dari pinggir bandar Snizhne yang dikawal kumpulan pemisah pro-Rusia.
Ia mengambil masa selama 12 saat untuk mencapai sasaran pesawat tersebut yang terbang pada ketinggian 10,000 meter.
Kira-kira dua saat selepas gambar ini diambil pesawat tersebut meletup dan berkecai di udara.
Ketika kejadian pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Seramai 298 penumpang dan kru pesawat tersebut terbunuh dalam nahas itu.
Pesawat itu terhempas di Torez dekat Shakhtersk dalam wilayah Ukraine.
Buat masa ini pejuang pemisah pro-Rusia dan kerajaan Ukraine saling tuduh menuduh dalam isu pihak yang mana menembak pesawat tersebut.
"Ini adalah jejak asap peluru berpandu yang menembak jatuh MH17," kata Ketua Perisikan Ukraine, Vitaliy Naida.
Dua hari sebelum kejadian pemberontak mendakwa sebuah pesawat tentera Ukraine membedil bandar Snizhne dengan peluru berpandu menyebabkan 11 orang terbunuh.
Ramai pihak percaya peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat MAS itu dilancarkan dari pelancar Buk yang merupakan sistem peluru permukaan ke udara canggih dan memerlukan latihan selama beberapa bulan untuk mengendalikannya.
Seorang pakar keselamatan dan pertahanan dari Institut Perkhidmatan Diraja Bersatu di London, Jonathan Eyal berkata, pejuang pemisah tidak mungkin mampu mengendalikan sistem itu tanpa penglibatan tentera Rusia.
Eyal berkata, gambar asap itu konsisten dengan jejak asap yang dihasilkan oleh peluru berpandu 10 saat atau kurang selepas dilancarkan dari Buk.
Kelmarin kerajaan Ukraine mendakwa mereka mempunyai bukti Rusia membekalkan pelancar peluru berpandu itu kepada pejuang pemisah.
Katanya, tiga pelancar itu melintasi sempadan Rusia pada Jumaat lalu, kurang 10 jam sebelum pesawat MH17 ditembak.
Dua jam sebelum pesawat MH17 ditembak, pelancar Buk dirakamkan berada di bandar Torez.
Dalam pada itu, Perancis memberi amaran Rusia akan menerima padah jika negara itu tidak memberi tekanan kepada golongan pemisah Ukraine untuk membenarkan para penyelamat dan penyiasat memasuki tapak nahas.
"Jika Rusia tidak mengambil beberapa langkah yang diperlukan, padah akan diambil oleh Kesatuan Eropah pada Majlis Hubungan Hal Ehwal Asing yang bakal berlangsung esok," kata Perancis menerusi satu kenyataan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz383MV6ZrW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment