Monday, July 21, 2014

Umum presiden esok

Jakarta: Gabenor Jakarta Joko ‘Jokowi’ Widodo dijangka diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden Indonesia minggu ini, namun saingannya bekas jeneral Prabowo Subianto mungkin mencabar keputusan itu yang dilihat akan memanjangkan lagi kemelut politik negara itu.

Kedua-dua calon mendakwa memenangi pilihan raya 9 Julai lalu selepas kempen yang sengit di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu namun ramalan rata-rata mengatakan Jokowi bakal diisytihar pemenang apabila proses pengiraan selesai. 
Pilihan raya itu dilihat paling sengit di Indonesia sejak kejatuhan presiden Suharto pada 1998. Ia juga ‘ujian’ terbesar buat negara itu yang dianggap masih baru merasai proses demokrasi. 

“Proses pilihan raya kali ini banyak melihat polarisasi sengit - itu sesuatu yang baru bagi kami di negara ini,” kata penganalisis veteran Indonesia, Kevin Evans.
Foto
SUSILO (tengah) diapit Jokowi (kanan) dan Prabowo menunaikan solat Maghrib di Istana Presiden selepas berbuka bersama, semalam.

Keputusan bakal diumumkan esok selepas kira-kira 130 juta kertas undi dikira satu persatu di seluruh Indonesia yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau.

Keadaan semakin tegang dalam tempoh dua minggu lalu apabila kedua-dua pihak saling menuding jari menuduh saingannya berniat mengganggu proses pengiraan. 

Sehubungan itu, pihak polis bakal bertugas di seluruh negara apabila keputusan diumumkan. 

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono turut menggesa kedua-dua calon memastikan penyokong masing-masing tidak turun ke jalanan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini - peringatan terhadap kejadian 16 tahun lalu yang melihat ratusan orang mati pada penghujung pemerintahan tiga dekad yang disifatkan autokratik. 

Menurut pemerhati, Prabowo hanya boleh menang jika pihaknya mengganggu proses kiraan undi, namun bekas jeneral itu menegaskan dia masih menjadi pilihan utama sebaliknya mendakwa Jokowi yang cuba melakukan penipuan untuk menjamin kemenangannya. 

Semalam, pasukan Prabowo sekali lagi mendakwa penipuan dalam proses kiraan undi dan menggesa supaya keputusan tidak diumumkan sehingga dakwaan mereka disiasat. 

“Saya menganggap kesahihan proses kiraan undi ini tidak telus,” kata Prabowo. 

Kempen itu dilihat sebagai yang paling kotor dalam sejarah demokrasi singkat Indonesia, dan melihat sokongan terhadap Jokowi merosot selepas beberapa siri serangan politik terhadapnya. 

Bagaimanapun, pada hari pemilihan, hasil tinjauan penganalisis yang dianggap mampu membuat jangkaan tepat menganggap Jokowi mampu mendahului antara dua hingga tujuh peratus. 

Beberapa institut tinjauan lain yang kurang dikenali sebaliknya mendakwa Prabowo bakal menang, namun kesahihan pandangan itu banyak dipertikaikan. 

Dua daripada badan itu disingkirkan selepas enggan melalui audit.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

No comments:

Post a Comment