Oleh Suraya Roslan, Kalidevi Mogan Kumarappa dan Aizat Sharif
Kiev: Semua lebih 200 cebisan mayat penumpang MH17 yang dimasukkan ke dalam sebuah keranda selamat tiba di Belanda bagi proses pengecaman mayat semalam.
Semua cebisan mayat itu yang mula dikutip sejak Jumaat lalu dibawa ke Amsterdam, Belanda, dengan menaiki pesawat pengangkut tentera Belanda.
Turut dibawa di dalam pesawat itu adalah barangan peribadi milik mangsa yang ditemui dan disimpan di bandaraya Donetsk, timur Ukraine sebelum ini.
Agensi media AFP berkata, sebanyak 227 keranda berisi mayat mangsa MH17 sudah dibawa ke kem ketenteraan Hilversum di Belanda untuk proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) pada 23 Julai lalu.
Sementara itu pakar dari Malaysia menyertai pasukan polis Belanda dan Australia buat pertama kali kelmarin bagi misi mencari kesan cebisan mayat mangsa.
Lebih 100 penyiasat dari Belanda, Australia dan Malaysia menjalankan usaha pencarian itu dengan menggunakan anjing pengesan di sekitar kawasan perkampungan Petropavlivka sejak kelmarin, dan berjaya menjumpai barangan peribadi termasuk album gambar dan pasport mangsa.
Pasukan pakar dari Malaysia mengadakan doa selamat di lokasi kejadian sambil disaksikan oleh ketua misi polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg.
Dalam tragedi sebelum ini, seramai 298 penumpang dan kru pesawat MH13 terbunuh apabila pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.
Amerika Syarikat mendakwa pesawat terbabit ditembak jatuh tentera pemberontak pro-Russia menggunakan peluru berpandu dari permukaan bumi ke udara yang dibekalkan oleh Russia.
Bagaimanapun Moscow dan pemberontak pula menuduh tentera Ukraine sebagai bertanggungjawab.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06
No comments:
Post a Comment