Wednesday, August 6, 2014

Pesta bogel canggah tatasusila, singgung umat Islam


SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kesal dengan penganjuran program 'Penang Nude Sports Game' yang dilaporkan diadakan di pulau rahsia berhampiran pantai Teluk Bahang Pulau Pinang.

Video Penang Nude Sports Game' yang boleh ditonton dari pautan sebuah laman web dan kini menjadi viral di laman sosial.

Menurut Sertiausaha Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden, program itu jelas membelakangkan adab tatasusila masyarakat Malaysia sekaligus menyinggung sensitiviti umat Islam khasnya di Pulau Pinang disaat umat Islam baru sahaja selesai menjalani ibadah bulan Ramadhan.

"Ia juga telah mencemarkan nama Pulau Pinang apabila nama negeri ini digunakan dalam sebahagian nama program tidak berakhlak ini," katanya.

Pemuda PAS mendesak supaya pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pihak-pihak berwajib lain yang berkaitan supaya menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur yang turut merancang untuk menganjurkan aktiviti yang sama pada 5 Disember 2014 nanti.

Tegasnya, program sangat tidak bermoral seperti ini tidak boleh berulang lagi dan boleh mengundang gejala tidak sihat di kalangan masyarakat.

"Kami bersetuju supaya semua enakmen, peraturan dan garis panduan berkaitan penganjuran aktiviti seumpama ini dikemas kini supaya selari dengan syariat Islam serta budaya masyarakat Malaysia selain dipertingkatkan penguatkuasaannya dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Daripada ringkasan video yang disiarkan dan diberi kredit kepada Albert Yam mendakwa seramai 18 orang yang mengambil bahagian dalam acara tersebut. - HARAKAHDAILY 5/8/2014

No comments:

Post a Comment