Thursday, August 21, 2014

Gesaan agar filem baharu pembunuhan Indira Gandhi diharamkan

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 6:09 PM

 
NEW DELHI: Sebuah filem kontroversial mengenai pembunuhan bekas perdana menteri India, Indira Gandhi dijangka ditayangkan mulai esok, ketika wujud gesaan agar ia diharamkan kerana mempamerkan pembunuh Gandhi seperti wira.

Filem bertajuk 'Kaum De Heere' atau 'Intan Masyarakat' itu menceritakan mengenai pengawal Gandhi keturunan Sikh menembak mati perdana menteri berkenaan pada 1984 bagi membalas dendam operasi tentera yang mengorbankan beratus-ratus Sikh.

Sayap pemuda Parti Kongres India Gandhi menulis surat kepada Perdana Menteri, Narendra Modi dan menyatakan filem itu sebenarnya menjadikan kedua-dua pengawal peribadi terbabit sebagai wira.

"Saya menulis surat kepada Perdana Menteri bagi menghentikan tayangannya," kata Vikramjit Chaudhary, presiden Kongres Pemuda Pradesh Panjub, unit tempatan Parti Kongres.

Pegawai Kementerian Penerangan dan Penyiaran, berkata ia sedang menimbang sama ada akan membenarkan filem berkenaan ditayangkan di India esok seperti dijadualkan berikutan kontroversi itu.

Bertindak atas arahan Gandhi pada 1984, pihak tentera menyerbu kuil Sikh, 'the Golden Temple' di Amritsar, untuk mencari militan yang disembunyikan di situ kerana memperjuangkan tanah air sendiri untuk golongan Sikh.

Beberapa bulan kemudian pada Oktober, dua pengawal peribadi Gandhi menembaknya di kepala, yang kemudiannya mencetuskan tindakan balas terhadap masyarakat Sikh yang mengorbankan kira-kira 3,000 orang, sebahagian besar di jalan raya New Delhi.

Salah seorang pengawal peribadi terbabit, Beant Singh, ditembak mati oleh polis sejurus selepas Gandhi dibunuh, manakala seorang lagi, Satwant Singh, mati digantung kemudian.

Pengarah Ravinder Ravi mempertahankan filemnya, di mana pelakonnya menutur bahasa Punjabi dan menyatakan filem berkenaan tidak mempunyai 'hero' atau penjahat.

"Apa yang saya lakukan ialah menceritakan mengenai kisah manusia mengenai dua keluarga yang tiada kaitan dengan politik atau bertujuan menimbulkan kekecohan," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment