Thursday, August 21, 2014

Saman kawan lama


Oleh Hadzlan Hassan

Shah Alam: Selepas amarannya untuk mengambil tindakan undang-undang jika terus difitnah tidak dipedulikan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya mula mengambil langkah terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Difahamkan, tindakan berkenaan diambil Abdul Khalid berikutan kenyataan Saifuddin mengenai laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’ awal bulan ini.


Writ saman difailkan Abdul Khalid melalui Tetuan Bon pada Isnin lalu menamakan Saifuddin secara peribadi dan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung PKR.

Penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi, antara lain memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah injuksi kekal menghalang defendan atau wakilnya, pekerjanya dan kakitangannya daripada menerbit, mengeluar, mengedar, mencetak atau menyebabkan perkataan yang dikatakan memfitnah Abdul Khalid.


Dalam tuntutannya, Abdul Khalid memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk dengan faedah yang dikenakan terhadap ganti rugi itu pada kadar empat peratus setahun dari tarikh writ saman itu difailkan hingga penyelesaian sepenuhnya.


Selain itu, beliau turut menuntut satu perintah untuk memaksa defendan mengeluarkan atau menerbitkan satu permohonan maaf secara bertulis terhadapnya.

Dalam tuntutannya, ia turut menyebut laporan bertarikh 3 Ogos 2014 yang dilampirkan dengan surat bertarikh 4 Ogos 2014 bertajuk ‘Pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Sebagai Menteri Besar Selangor’ dan disampaikan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, selain menggunakan kepala surat Pejabat Setiausaha Agung PKR yang ditandatanganinya.

Salinan surat itu diserahkan kepada 13 pihak termasuk plaintif, selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP Lim Kit Siang; Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta wakil rakyat ketiga-tiga parti itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

No comments:

Post a Comment