JAKARTA 20 Ogos - Pihak berkuasa Indonesia akan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara esok (Khamis) bagi mengelakkan berlaku kekacauan berikutan Mahkamah Perlembagaan (MK) akan membacakan keputusan Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014.
Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan mengerahkan 30,000 anggota, sementara Polis Republik Indonesis (Polri) akan mengerahkan 20,000 anggotanya untuk bersiap sedia mengawal keadaan.
Selain memastikan keamanan di kawasan perbicaraan di MK, pihak berkuasa turut meningkatkan kawalan di tempat-tempat tumpuan seperti Istana Negara, bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) serta Lapangan Terbang Antarabangsa SoekarnoHatta.
Menurut Ketua Pusat Penerangan TNI, Fuad Basya, Panglima TNI, Jeneral Moeldoko sudah menghubungi semua pimpinan TNI laut, darat dan udara khususnya di Pulau Jawa dan Jakarta untuk bersiap sedia.
"Penekanan yang harus diberikan esok ialah meningkatkan kawalan keselamatan pada hari pengumuman keputusan mahkamah," kata Fuad pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Fuad, jumlah 30,000 anggota TNI yang dikerahkan esok menyamai jumlah yang digunakan untuk mengawal keselamatan semasa Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen pada 20 April lalu.
MK Indonesia akan memutuskan dakwaan kecurangan semasa Pemilu 2014 oleh pasangan calon Presiden dan Naib Presiden, Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.
Pasangan berkenaan mencabar keputusan Pemilu 2014 yang berpihak kepada pasangan lawan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya yang diadakan pada 9 Ogos lalu itu.
Pada Pilpres lalu, Jokowi dan Jusuf meraih 53.15 peratus atau 70.6 juta undian sementara pasangan Prabowo - Hatta pula mendapat 46.85 peratus atau 62.2 juta undian.
"Kita akan kembali mengadakan aksi moral di depan MK dan jumlah orang ramai yang dijangka turun kali ini (esok) akan mencapai target yang fantastik," kata anggota pasukan kemenangan Prabowo - Hatta, Andre Rosiade pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Andre tidak dapat memberikan jumlah penyokong pasangan berkenaan yang dijangka berhimpun esok, sebaliknya memberi gambaran bahawa sepanjang Jalan Medan Merdeka Barat di sini esok akan dibanjiri orang ramai.
Kubu Prabowo - Hatta juga mengerahkan orang ramai untuk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan MK selama mahkamah bersidang. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_02/Tentera-Indonesia-diletakkan-dalam-keadaan-bersiap-sedia#ixzz3AyWVt7XA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment