Tuesday, August 26, 2014

Kumpulan pertama mangsa MH17 dari Australia tiba minggu ini

SELASA, 26 OGOS 2014 @ 5:17 PM

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
 
SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata mangsa pertama rakyat Australia yang terbunuh dalam nahas MH17 akan dibawa pulang minggu ini.

Australia kehilangan 38 warga dan pemastautinnya, termasuk kanak-kanak, apabila pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan semua 298 penumpang dan kru.

Abbott memberitahu Parlimen bahawa proses mengecam mangsa adalah "proses yang amat perlahan.

"Hanya pada minggu ini, mangsa dari Australia akan dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau menambah, satu arca peringatan bagi mangsa terbabit akan dibina di taman Bangunan Parlimen dan siap sebelum ulang tahun pertama kejadian itu.

"Saya umum pada hari ini bahawa satu arca peringatan akan didirikan di taman Parlimen bagi semua mangsa, terutama 38 rakyat Australia.

"Ia akan didirikan sebelum ulang tahun pertama dan ia adalah satu tanda bahawa kita tidak akan melupai mereka," katanya.

Jumaat lalu kerajaan Belanda, yang mempunyai 193 rakyatnya di dalam pesawat terbabit, berkata setakat ini 173 mangsa sudah dikenal pasti oleh pakar forensik. - AFP

No comments:

Post a Comment