Tuesday, August 26, 2014

Russia dakwa penyiasat tak telus


Moscow: Russia semalam mempertikaikan kegagalan penyiasat kejadian MH17 mengumumkan butiran berhubung siasatannya malah mendakwa penyiasat antarabangsa tidak bersikap telus.

Menteri Luar Sergei Lavrov mempertikaikan kenapa rakaman daripada kotak hitam pesawat terbabit tidak diumumkan, selain mendakwa “semua orang kini tidak lagi berminat dengan siasatan itu.”



“Setakat ini kami belum mendapat sebarang maklumat mengapa rakaman dalam kotak hitam itu tidak diumumkan,” kata Lavrov.

Dia turut mempertikaikan kenapa Ukraine masih belum menyediakan rakaman perbualan dengan menara kawalan di lapangan terbang Dnepropetrovsk berhampiran.


Menurutnya, Russia menghubungi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang turut menubuhkan pasukan petugas untuk mengemukakan saranan berhubung kejadian itu, namun “setakat ini kami belum mendapat maklumat yang menunjukkan ketelusan mereka.”


Sehubungan itu, Lavrov mendakwa siasatan gagal membuktikan Russia terbabit dalam kejadian itu di kawasan dikawal puak pemberontak.

Katanya, mereka yang lantang melemparkan tuduhan terhadap Russia dan puak pemberontak Ukraine kini terdiam.

Penyiasat Belanda yang mengetuai siasatan berkata awal bulan ini mereka akan mengeluarkan laporan awal dalam tempoh beberapa minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

No comments:

Post a Comment