Monday, August 4, 2014

Pakar-pakar cari cebisan daging



GAMBAR menunjukkan sejumlah serpihan pesawat MH17 yang berkecai di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, kelmarin.


DONETSK - Anggota-anggota yang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa sekali lagi memasuki hutan dan padang semalam yang menjadi lokasi nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia terhempas dekat kampung Grabovo.
Kira-kira 70 warga Belanda dan para penyiasat dari Australia menghabiskan masa pada hari ketiga memeriksa serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.
Van-van yang membawa peti sejuk dihantar ke lokasi kejadian untuk membawa cebisan daging manusia yang juga mangsa MH17 yang ditemui di lokasi nahas.
Usaha-usaha untuk mencari cebisan daging manusia dan barangan peribadi milik penumpang pesawat itu diteruskan di kawasan seluas 20 kilometer persegi.
Kelmarin, bedilan mortar memaksa pakar-pakar antarabangsa meninggalkan lokasi nahas itu.
"Kami mendengar tembakan artileri dua kilometer dari tempat kami berada," kata Timbalan Ketua Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) di Ukarine, Alexander Hug.
"Tembakan itu amat kuat dan tanah bergegar," tambahnya.
Tentera Ukraine dan golongan pemisah pro-Rusia bertempur dekat lokasi nahas pesawat MH17 itu.
Amerika Syarikat menuduh kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh pesawat MH17 itu pada 17 Julai lalu dengan menggunakan peluru berpandu.
Namun, kumpulan pemisah itu menuding jari ke arah tentera Ukraine yang menyebabkan pesawat itu berkecai di udara.
Lebih 220 keranda mengandungi mayat mangsa-mangsa pesawat MH17 telah dihantar ke Belanda untuk dibuat pengecaman identiti.
Seramai 298 orang termasuk kru menaiki pesawat itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39NXd7QFb 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment