Wednesday, September 24, 2014

Australia larang rakyatnya kunjungi 'hot spot' keganasan

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 @ 2:42 PM

 
SYDNEY: Australia akan menggubal undang-undang lebih ketat bertujuan menjadikan kunjungan ke kawasan 'panas' pengganas sebagai perlakuan jenayah dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga 10 tahun penjara.

Pindaan itu yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa bagi kajian lanjut hari ini dicadangkan berikutan kebimbangan kerajaan bahawa kira-kira 60 rakyat Australia diketahui mengunjungi Iraq dan Syria untuk menyertai perjuangan jihad, dan mereka boleh kembali semula ke tanah air untuk melakukan keganasan.

Rang Undang-Undang Anti-Keganasan (pindaan) (Pejuang Asing) mencadangkan untuk menjadikan kesalahan bagi sesiapa memasuki atau terus berada di tempat 'yang diisytiharkan' itu, di mana menteri luar berpuas hati bahawa pertubuhan pengganas terbabit dalam kegiatan ganas.

Undang-undang itu bagaimanapun tidak melarang mana-mana pihak yang mengunjungi tempat tertentu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, sebagai wakil rasmi Australia atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melaporkan berita atau menziarahi keluarga.



Namun ia mengambil perhatian bahawa mereka yang mengunjungi tempat yang diisytiharkan itu tanpa tujuan sahih mungkin membabitkan diri dalam kegiatan ganas dengan pertubuhan pengganas yang disenaraikan.

"Mereka mungkin kembali dari tempat yang diisytiharkan dengan kemampuan bertambah bagi melakukan tindakan keganasan di Australia," kata seorang jurucakap.

Pindaan yang dicadangkan itu, yang akan dikaji oleh jawatankuasa perisikan Parlimen, juga mewujudkan kesalahan baharu bagi mereka yang menyokong keganasan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara. - AFP

No comments:

Post a Comment