Wednesday, September 24, 2014

Kisah guru: 'Double standard' antara dua PRK


NORMALA SUDIRMAN | .
Kementerian Pendidikan Malaysia harus menyiasat laporan bahawa isteri calon BN, Cikgu Khairos Husin yang didakwa berkempen membantu suami dalam PRK Pengkalan Kubor.

Aktivitinya dipaparkan di media bercetak dan media elektronik secara terang-terangan malahan laporan media akhbar menyatakan selepas cuti sekolah seminggu, beliau akan menyambung cuti bagi membantu suaminya berkempen bagi memenangkan calon PRK Umno BN, Mat Razi Mat Ali (mantan Penolong Pengarah PPD Tumpat bahagian Pengurusan Sekolah).

Pn. Khairos Husin adalah guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan Tumpat.

NGO Pendidik menerima banyak aduan terhadap kes ini kerana ternyata jika ianya benar, maka berlaku 'double Standard' dalam melayan warga pendidik yang seharusnya mematuhi etika perkhidmatan profesionalisme perguruan dalam Buku Perintah Am.

Ketika PRK DUN Tenang, suami calon, Cikgu Maarof Abd.Mutalib(gambar) yang menerima tekanan Umno BN sehingga ditukarkan ke sekolah 500km pergi balik hanya kerana dakwaan yang belum terbukti bersalah dan hanya spekulasi media, blogger dan pimpinan Umno BN.

Bukan setakat itu sahaja beliau telah didakwa menipu cuti sakit sedangkan cuti diberikan oleh doktor bertauliah kerajaaan akibat simptom 'Stress Disorder' kerana menerima tekanan dan asakan hebat dari Umno yang mencampur adukkan politik kepartian dengan pendidikan anak bangsa.

Surat cuti yang merupakan dokumen sulit penjawat awam didedahkan oleh blogger upahan di dada akhbar, menerima tekanan psikologi surat tunjuk sebab  'Buang Kerja atau Turun Pangkat'. Bonus tahun semasa 2011 telah dinafikan dan menghadapi dua pertukaran yang bukan atas 'redeployment' atau atas keperluan perkhidmatan dalam tempoh 6 bulan.

Bukan setakat itu sahaja, Pengarah Pendidikan Johor tahun 2011 , Tn.Hj.Markom Bin Giran turun berkempen pada hari ke 2 persekolahan sesi 2011  secara terang -terangan di SMK Tenang Stesen, tempat suami Calon PRK Tenang berkhidmat dan menyerahkan surat pertukaran suami kepada pihak sekolah secara 'by hand' dengan dakwaan laporan yang mengatakan kepada pengetua sekolah,"saya tukarkan Cikgu Maarof bukan sebab prestasi dia tidak baik , tetapi sebab tak boleh kawal isteri terlalu aktif berpolitik".

Sedangkan pada ketika itu Cikgu Mala telah pun meletakkan jawatan berkuatkuasa 28 Disember 2010 sedangkan tarikh pengistiharan calon ialah pada 16 Januari 2011.

Hampir 80 orang guru dan staff sekolah begitu terkejut bagaimana seorang guru yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan banyak mengharumkan nama sekolah dalam bidang Hoki hingga ke peringkat negeri, tiba-tiba ditukarkan 24 jam tanpa sebab setelah berkhidmat hampir 13 tahun di SMK Tenang Stesen.

Arahan dipindahkan tanpa sebab dari SMK Tenang Stesen Segamat ke SMK Taman Daya , Johor Bahru, sejauh 150 km di hari ke 2 persekolahan sesi 2011 adalah tidak logik dan tidak masuk akal.

Akhirnya surat perpindahan ditarik balik dalam tempoh 24 jam, setelah bantahan dibuat dan setelah pihak JPN Johor menerima berita suatu kenyataan laporan SPRM akan dibuat jika arahan itu diteruskan. Umno telah memperalatkan pihak sekolah untuk mengikut telunjuk mereka , tetapi tidak berjaya .

Namun, kesan emosi yang mendalam akibat peristiwa itu telah menyebabkan suami calon PRK Tenang demam berpanjangan dan akhirnya setelah diagnosis dibuat oleh doktor akhirnya mendapati beliau mengalami 'Stress Disorder' yang menyebabkan doktor memberi cuti 14 hari dan diberi ubat anti kemurungan dan anti stress dengan nasihat jangan berada dalam keadaan kemurungan dan bersendirian sepanjang bercuti.

Terapi yang paling baik , mengikut nasihat doktor ialah berada dalam keadaan di tengah khalayak ramai agar melupakan tekanan yang berlaku dan melakukan aktiviti yang menggembirakan .Itulah rupanya peluang Umno BN dan pihak blogger upahan membuat spekulasi dan menfitnah yang akhirnya beliau menerima sekali lagi pertukaran di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang yang mana surat diterima 2 hari sebelum Pengarah Pendidikan Johor , Markom Bin Giran bersara. Kezaliman dan dendam politik UMNO terserlah tanpa belas sedangkan merekalah yang melaungkan retorik politik semata-mata.

Ketika perletakan jawatan dibuat oleh Cikgu Mala  pada tahun 2010, beliau sendiri pun  tidak tahu siapa calon PRK DUN Tenang yang dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama pada 16 Januari 2011, tetapi serangan psikologi yang telah dibuat kepada suami calon  ternyata amat rapi sekali.

Juga maruah guru yang dijaja dan difitnah di dada akhbar, media elektronik dan media bercetak tanpa belas kasihan dengan harapan agar dapat mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Inilah realiti salahguna kuasa yang berlaku, penggunaan premis pendidikan sekolah sebagai tempat berkempen, menggunakan warga pendidik dengan 'kalimat mandatori saya yang menurut perintah' dan memaksa guru hadir ke program Umno semakin berleluasa.

Di Kelantan, telah ramai guru dipindahkan , ditukar dan ditendang seperti bola ke sana sini hanya kerana dianggap cenderung menyokong Pakatan Rakyat. Walaupun lebih 23 tahun menjadi kerajaan negeri, namun martabat guru yang dicengkam oleh kerajaan pusat dipimpin oleh Umno BN tidak dibela oleh KPM.

Antara PRK DUN Tenang dan PRK Pengkalan Kubor. Pasangan warga pendidik dilayan secara tidak adil dan. Double Standard.

Calon PRK tidak lagi berkhidmat dalam dunia pendidikan, tetapi pasangan mereka dilayan seperti antara 'dua dunia berbeza ' sedangkan masing -masing masih berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia yang sama.

Situasi mengiringi dan menemani adalah berbeza dengan berkempen secara terang -terangan membantu suami.

Justeru, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) Kelantan , dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengambil membuat siasatan dan tindakan sewajarnya atas apa yang berlaku.

Jangan mengambil sikap berpilih dalam membuat tindakan.Adil dan jangan menzalimi warga pendidik. Inilah penegasan kami.

*Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan juga bekas Calon PRK Tenang.

No comments:

Post a Comment