Anifah Aman
Anifah Aman
MALAYSIA menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk terus membantu Sierra Leone dari segi kewangan dan material.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata sumbangan itu boleh memperkasa kerajaan negara berkenaan melaksanakan program ekonomi dan sosial yang konkrit selain mengurus kepulangan lebihan pelarian negara berkenaan dari negara jirannya.
  
"Selain mengalami wabak Ebola. Sierra Leone masih menghadapi isu pembangunan dan sosioekonomi lain. Malaysia melahirkan penghargaan kepada negara OIC yang bermurah hati menyumbang kepada negara berkenaan," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat kumpulan penghubung peringkat menteri OIC mengenai Sierra Leone di New York pada Isnin.
  
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama di sini hari ini.   

Malaysia merupakan pengerusi kumpulan penghubung tersebut.
 
Anifah berkata Malaysia amat yakin modal insan yang mahir dan terlatih merupakan faktor penting kepada kemajuan dan pembangunan mapan sesebuah negara.
  
"Dalam konteks ini, Malaysia akan terus membantu proses pemulihan dan pembangunan semula Sierra Leone terutama menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Sejak 1987, sebanyak 66 pegawai negara berkenaan menjalani latihan di Malaysia di bawah program itu.
  
"Dalam hubungan ini, kami menggalakkan kerajaan Sierra Leone untuk mencalonkan lebih banyak pegawainya bagi menyertai pelbagai program latihan MTCP," katanya.
  
Anifah berkata dengan bantuan dan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa terutama anggota OIC, Malaysia berpendapat Sierra Leone sedang bergerak ke haluan betul untuk mencapai masa depan lebih baik bagi rakyatnya. - Bernama