Wednesday, September 24, 2014

Lion King teater terlaris


Teater The Lion King dinobatkan sebagai pementasan paling laris dalam sejarah dengan kutipan box-office sebanyak AS$6.2 bilion (RM20.18 bilion). - REUTERS
NEW YORK 23 Sept. - Teater muzikal terkenal, The Lion King semalam dinobatkan sebagai pementasan paling laris dalam sejarah, dengan kutipan box-office sebanyak AS$6.2 bilion (RM20.18 bilion), melebihi mana-mana teater serta filem.
Kutipan itu berdasarkan hasil jualan tiket sahaja tanpa mengambil kira jualan barangan, rakaman serta hasil pendapatan daripada filem asalnya yang diterbitkan oleh Disney.
Teater The Lion King dipentaskan buat kali pertama di teater Broadway pada 1997, tiga tahun selepas filemnya yang memenangi Anugerah Oscar ditayangkan di pawagam.
Presiden dan Penerbit Produksi Teater Disney, Thomas Schumacher berkata, agak sukar baginya untuk tidak berasa emosional melihatkan impak hasil daripada pementasan teater itu.
"Objektif kami ketika menerbitkan teater ini adalah untuk menceritakan kisah ini dengan murni supaya penonton turut merasainya," katanya.
Sebanyak 10 produksi pementasan The Lion King di seluruh dunia, termasuk di London, New York dan Tokyo dan lebih 75 juta penonton dari seluruh dunia menyaksikan pementasan teater tersebut.
Sebelum ini, pementasan teater, The Phantom of the Opera arahan Andrew Lloyd Webber yang ditayangkan di London pada 1986 merupakan pementasan paling laris dan masih mendapat sambutan penonton.
Seorang jurucakap memaklumkan, The Phantom of the Opera mengutip sejumlah AS$6 bilion (RM19.53 bilion) dalam tayangan seluruh dunia dengan jumlah penonton seramai 140 juta orang.
Filem Avatar yang ditayangkan pada 2009 pula menjadi filem paling laris yang pernah direkodkan, iaitu dengan jumlah kutipan sebanyak AS$2.8 bilion (RM9.11 bilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_08/iLion-Kingi-teater-terlaris#ixzz3EDlstf8o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment