Wednesday, September 24, 2014

22,000 pegawai perubatan ditugaskan sempena musim haji


ARAB Saudi menyediakan perkhidmatan ambulans yang disokong 22,000 pegawai perubatan bagi musim haji tahun ini. - AGENSI
MEKAH 23 Sept. - Sejumlah 22,000 orang pegawai perubatan dan paramedik ditugaskan untuk menjaga kebajikan kesihatan jemaah haji tempatan dan luar negara di Mekah dan Madinah tahun ini.
Laman web, arabnews.com melaporkan, Kementerian Kesihatan turut menyediakan 100 buah ambulans dan 50 ambulans mini bagi memudahkan membawa pesakit ke hospital berdekatan.
Selain itu, sebanyak 141 pusat penjagaan kesihatan serta 17 pusat kecemasan dibangunkan di sekitar kawasan melontar jamrah, di samping bekalan sebanyak 16,000 unit darah untuk tujuan kecemasan.
Minggu lalu, kementerian turut memperkenalkan perkhidmatan telefon Saha Ziyufur Ar Rahman yang dikelola oleh pegawai kesihatan kementerian yang menggunakan bahasa Arab dari pukul 9 pagi sehingga 3 petang untuk kemudahan para jemaah.
Jemaah haji juga boleh menghubungi pegawai kesihatan menggunakan laman web Twitter, @saudimoh atau www.moh.gov.sa untuk mendapatkan penjelasan tentang isu kesihatan pada musim haji.
Penyelia umum jabatan hal ehwal kesihatan untuk haji dan umrah, Dr. Hussein Ghannam berkata, Kementerian Kesihatan juga mengerahkan pegawai kesihatan di 15 buah pintu masuk melalui udara, laut dan darat bagi memantau keadaan jemaah haji.
Tambahnya, pegawai kesihatan terbabit akan memastikan para jemaah telah mengambil suntikan vaksin seperti yang dinasihatkan sebelum memasuki tanah suci.
Bagi jemaah yang belum menerima suntikan vaksin, pegawai kesihatan akan menyediakan rawatan tersebut bagi mengelakkan jangkitan penyakit khususnya Ebola dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).
"Mereka juga diarah untuk melaporkan sebarang perkembangan kesihatan kepada jawatankuasa arahan pusat dalam tempoh 24 jam," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_02/22000-pegawai-perubatan-ditugaskan-sempena-musim-haji#ixzz3EDmPDCBA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment