SHAH ALAM 11 Sept. - Bekas ibu mentua pengacara dan pelakon, Jimmy Shanley tidak membenarkan bekas menantunya itu bermalam dengan cucunya yang juga anak tunggal Jimmy kecuali jika kanak-kanak itu tidak menangis.
Datin Muniroh Kassim, 53, berkata, cucunya, Zahra Rania yang berusia tiga tahun tiga bulan sering menangis apabila hendak bermalam dengan bekas menantunya.
"Bukan tidak bagi bermalam tetapi kalau anak itu tidak menangis bolehlah bermalam," katanya semasa disoal oleh peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy yang bertanya sama ada anak guamnya itu boleh mengambil Zahra Rania untuk bermalam dengannya.
Muniroh merupakan saksi pertama dalam prosiding perbicaraan kes perintah komital yang dimohon Jimmy bagi memenjarakan bekas isterinya atas dakwaan ingkar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, mengemukakan permohonan itu terhadap Nursuhaila Eliani Suhaimy, 28, pada 7 Mei 2013.
Pada 8 April 2013, mahkamah tersebut memutuskan hak jagaan penuh anak pasangan itu diserahkan kepada Nursuhaila manakala Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.
Jimmy juga dibenarkan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama Zahra Rania bermula tahun lalu secara bergilir-gilir dengan Nursuhaila.
Walau bagaimanapun pengacara itu gagal mendapatkan hak tersebut setelah cubaannya sebanyak tiga kali untuk bermalam dengan anaknya itu tidak mendapat kerjasama bekas isterinya.
Sementara itu Muniroh berkata, suaminya, Datuk Suhaimy Othman tidak membenarkan orang lain kecuali Jimmy sendiri untuk mengambil Zahra Rania walaupun kakak ipar bekas menantunya pernah datang untuk mengambil cucunya.
Dia juga tidak mengingati sama ada pernah mengadakan majlis makan-makan pada tarikh yang didakwanya telah membawa cucunya itu dan Nursuhaila pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah.
Malah pengasas kosmetik Natasya itu turut tidak mengingati menjemput abang Jimmy ke majlis itu.
Muniroh turut tidak bersetuju apabila Mohd. Noor Aizan menyatakan peguam anaknya berada di rumah mereka di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, ketika Jimmy mahu mengambil Zahrah Rania pada Mei tahun lalu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man bersambung pada 27 Oktober ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140912/ma_03/Jimmy-boleh-bermalam-jika-anak-tidak-menangis#ixzz3D3NhzL3F
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment