Friday, September 12, 2014

Putin kerah tentera siap sedia


Moscow: Presiden Valdimir Putin semalam mengarahkan pemeriksaan mengejut mengenai tahap kebersediaan berperang tentera Russia di timur jauh negara itu.

Ia langkah terbaru dalam siri latihan ketenteraan Russia tahun ini ketika ketegangan berkait dengan krisis Ukraine memuncak.

Agensi berita Russia memetik Menteri Pertahanan Sergei Shoigu sebagai memberitahu pegawai kanan tentera negara itu bahawa askar yang ditempatkan wilayah timur negara itu, termasuk sempadan maritimnya dengan Jepun dan sempadan darat dengan China diarah bersiap sedia sepenuhnya dengan kelengkapan perang pada jam 10 pagi waktu tempatan.

Pemeriksaan ketenteraan dan latihan peperangan mengejut yang dilaksanakan Putin bagi menguji dan mempamerkan kemampuan tentera negara itu meningkatkan lagi ketegangan antara negara itu dengan Barat berkait dengan krisis Ukraine.

Barat menuduh Putin mengambil kesempatan itu untuk meningkatkan lagi jumlah tentera di sempadannya dengan Ukraine.

Pemeriksaan mengejut itu juga bertujuan menguji kemampuan kementerian perdagangan, komunikasi dan pengangkutan untuk beroperasi sewaktu perang.

Russia berusaha mengukuhkan hubungannya dengan negara Asia terutama China selepas krisis Ukraine berlaku.



Jepun menyertai sekutu AS dan Eropahnya untuk mengenakan sekatan terhadap Russia berhubung krisis berkenaan.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

No comments:

Post a Comment