Tuesday, September 2, 2014

Krisis Selangor: PKR dan DAP tetap mahu Wan Azizah calon tunggal

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
KUALA LUMPUR : PKR dan DAP mengesahkan sudah mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu kepada istana, namun dilihat 'tidak menepati kehendak' baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ini berikutan, kedua-dua parti itu masih tidak berganjak untuk terus mencalonkan wakil tunggal mereka, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
PAS pula mengesahkan kekal dengan keputusan awal parti itu pada pagi 17 Ogos lalu iaitu menamakan dua calon, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini memaklumkan akan mengemukakan dua nama itu kepada baginda Tuanku, esok.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Phua dan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan nama Wan Azizah sudah dihantar ke istana.
"Oleh kerana beliau sudah mendapat sokongan 30 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Selangor, hanya Wan Azizah dikemukakan," kata Tony kepada BH Online.
Perkembangan terbaharu itu dijangka menyaksikan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor itu akan terus berlanjutan berikutan titah Tuanku meminta sekurang-kurangnya dua nama dipersembahkan untuk jawatan itu tidak diendahkan.
Baginda Tuanku dalam satu kenyataan media yang dibacakan Abdul Khalid sebelum ini memberi tempoh sehingga esok kepada setiap parti dalam Pakatan Rakyat agar mengemukakan dua nama atau lebih untuk dipertimbangkan sebagai pengganti Menteri Besar sedia ada.
Pada 26 Ogos lalu, baginda Tuanku juga menangguhkan peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment