KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memberi komitmen kepada kumpulan keselamatan seperti Unit Amal bukannya menganggap mereka sebagai gengster.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, kumpulan seperti ini sewajarnya diberikan bantuan atau bajet sebagai suntikan semangat bukannya mengarahkan pasukan polis menangkap mereka.
"Sebagai seorang menteri beliau wajar melihat kumpulan yang berorientasikan kerja-kerja kebajikan, diberikan penambahbaikan supaya kumpulan ini dapat sama-sama bertanggungjawab terutama dalam isu keselamatan dan kebajikan," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS.
Tegasnya, Zahid juga sepatutnya mendekati mereka yang majoritinya adalah dari kalangan anak muda dengan kasih sayang dan menegur jika ada yang tidak betul.
Salahuddin juga bersedia bersemuka dengan Zahid untuk membincangkan perkara ini.
Bahkan pihak Pemuda PAS bersedia menghadapi tindakan sekiranya anggota Unit Amal ditangkap polis.
"Kita akan sediakan pasukan peguam sekiranya mereka dikenakan tindakan, kita ambil pendekatan masih ada ruang untuk membuat rundingan.
"Setiao Unit Amal yang ditangkap kita tidak teragak-agak untuk saman pihak kerajaan kerana kita tidak lakukan apa-apa kesalahan,"katanya.
Unit Amal ditubuhkan pada tahin 1991 di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin antara individu yang bertanggungjawab ke atas penubuhan Unit Amal.
Unit Amal mempunyai lebih 6,000 anggota yang berdaftar di bawah Pemuda PAS di seluruh negara, mereka melakukan kerja-kerja kebajikan dan kerja sosial termasuklah membantu mangsa banjir, kemalangan, tanah runtuh dan banyak lagi. - HARAKAHDAILY 2/9/2014
No comments:
Post a Comment