Mulai 3 Oktober depan, hampir dua juta penganut Islam akan mula melaksanakan ibadah itu, mengikut jejak Rasulullah (SAW) yang mula dilakukan lebih 1,400 tahun lalu.
“Ini umpama mimpi yang indah.
Saya tidak akan dapat melupakannya,” kata jemaah dari Iraq, Kazim Ibrahim, 69, sebaik tiba di Makkah.
Musim haji tahun ini hadir dengan masyarakat Islam di seluruh dunia terpaksa berdepan dengan masalah besar yang dicetuskan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka ‘Negara Islam’ (IS).
Arab Saudi dan empat negara Arab lain menyertai Washington melancarkan serangan udara di Syria, menyasarkan kumpulan itu yang beberapa bulan lalu mengisytiharkan pemerintahan khalifah di Iraq dan Syria dan melakukan keganasan melampau.
Menteri Luar Saudi, Saud al-Faisal mengecam IS kerana keganasan mereka dan menuduh kumpulan itu mencemarkan imej Islam dan penganutnya.
Dalam pada itu, Arab Saudi yang kaya dengan minyak dan memiliki dua tempat paling suci umat Islam, turut terbabit dalam ‘peperangan’ berbeza untuk melindungi jemaah haji daripada dua virus berbahaya, Ebola dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
Menurut rekod, lebih 6,200 orang di barat Afrika dijangkiti wabak Ebola dan hampir separuh daripada mereka sudah meninggal dunia.
Pada masa sama, Arab Saudi menjadi negara paling teruk berdepan dengan MERS.
Minggu lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun mati kerana penyakit itu di Taif, 80 kilometer ke timur Makkah.
Minggu lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun mati kerana penyakit itu di Taif, 80 kilometer ke timur Makkah.
Dia mangsa ke 317 wabak itu sejak MERS mula dikesan pada September 2012.
Dengan sebegitu ramai orang berkumpul di kawasan terhad pada masa yang singkat, ia mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan wabak itu akan merebak dengan lebih mudah.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi sudah bersedia menanganinya.
Pemangku Menteri Kesihatan, Adel Fakieh, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mewujudkan pusat kawalan dan pemantauan bagi menangani isu kesihatan yang mungkin timbul pada musim haji ini.
Pusat berkenaan menempatkan lapan pakar perubatan untuk merawat jemaah yang terkena serangan sakit jantung dan penyakit kritikal lain sebaik mereka mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah.
PEMANDANGAN berhampiran Kaabah ketika jemaah haji menunaikan Solat Jumaat baru-baru ini.
PASUKAN keselamatan Saudi mengawal keselamatan jemaah haji. |
Pengarah perubatan di lapangan terbang itu, Fouad Hussain Sindi pula berkata, pusat berkenaan turut mewujudkan 15 bilik kuarantin untuk menempatkan mereka yang disyaki dijangkiti Ebola atau MERS.
Bagaimanapun, sehingga ini, tidak sampai 30 orang dimasukkan ke bilik itu sebagai langkah berjaga-jaga sebelum dibenar meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
“Belum ada jemaah yang disahkan menghidap Ebola atau MERS,” kata Fouad ketika dihubungi.
Sebagai langkah berjaga-jaga juga, Arab Saudi tidak mengeluarkan visa kepada rakyat tiga negara paling teruk dilanda Ebola - Guinea, Liberia and Sierra Leone.
Selain lapan pakar perubatan, 640 doktor, juruteknik perubatan dan kakitangan lain juga ditugaskan di lapangan terbang berkenaan.
Berbanding dengan kejadian buruk sepanjang musim haji lalu yang menyaksikan kematian akibat bersesak-sesak, kebakaran dan kejadian yang membawa maut, musim haji sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir bebas daripada insiden buruk - hasil daripada projek keselamatan bernilai berbilion ringgi yang dilaksanakan pihak berkuasa Saudi.
Tahun ini, 70,000 anggota keselamatan akan dikerah mengawal keselamatan sepanjang lima hari pelaksanaan ibadah itu.- AFP
No comments:
Post a Comment