Monday, September 29, 2014

Pengkalan Kubor: Nilai apakah yang BN lakukan


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh jentera yang bertungkus lumus berusaha merebut kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam pilihan raya kecil tempoh hari.

Khasnya kepada jentera daripada negeri Perak dari semua kawasan yang telah turun secara berperingkat mengikut jadual yang telah diberikan.

Walaupun tidak memperoleh kemenangan, namun ianya adalah permulaan baik bagi PAS untuk mengorak langkah dan memandang ke hadapan terhadap masa depan PAS di Pengkalan Kubor, kata Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

"Walaupun kita dibahangi dengan suasana muktamar namun jentera PAS tidak dilihat pincang apabila seluruh tenaga di semua peringkat sama ada ulamak, pemuda, muslimat termasuklah dewan himpunan turun membantu kempen," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka mengerah seluruh jentera dari seluruh negara menggerakkan gerak kerja pilihan raya sejak awal lagi hingga ke hari pembuangan undi.

Baginya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memilih tarikh yang tidak sesuai atau sengaja apabila dalam masa yang sama muktamar PAS sedang bersidang yang melibatkan semua jentera di seluruh negara.

"Namun begitu, kami menggesa PAS membuat 'post-moterm' bagi menilai keputusan yang telah diperoleh seterus melihat, menilai serta mengenal pasti kekurangan yang ada," katanya.

Beliau berkata, PAS perlu kenal pasti punca kenapa majoriti yang diperoleh oleh BN meningkat sedangkan kali ini PAS yang bertanding oleh kerana sebelum ini 'alasan' kekalahan yang kedengaran adalah kerusi tersebut ditandingi oleh PKR.

"PAS juga perlu memastikan apakah strategi yang diguna pakai dalam pilihan raya tersebut berkesan di samping menilai apa yang dilakukan oleh BN untuk kita aplikasikan serta tambah baik selepas ini," ujarnya lagi.

Pihaknya yakin, Jabatan Pilihanraya PAS Pusat mengambil serius dengan keputusan yang ada bagi menilai prestasi jentera parti serta penerimaan rakyat terhadap gerak kerja yang jentera lakukan. -HARAKAHDAILY 29/9/2014

No comments:

Post a Comment