Monday, September 29, 2014

PAS jadi mangsa buli DAP - Nik Mohamad Abduh


KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin PAS hari ini mendakwa partinya kini menjadi mangsa buli sekutunya, DAP dan terdapat usaha bagi membakar sentimen penyokong Pakatan Rakyat supaya membenci PAS.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, berkata adalah menjadi satu kerugian besar kepada Pakatan Rakyat andai DAP yang menyokong PKR terus membuli PAS.
"Mungkin susah DAP nak terima. Tapi pada saya, bila PAS tukar angin, PAS marah pada DAP, saat itu DAP akan rugi. DAP akan rugi lama. Mungkin undi Cina dan India akan bertukar.
"Mereka jadi cuak dengan DAP. Mereka rakyat yang mahukan keamanan, kebenaran dan setia kawan dalam kehidupan. Itu pandangan saya. DAP akan rugi lama jika PAS marahkan DAP," katanya menerusi entri terbaru dalam laman Fecebooknya yang dimuat naik awal pagi ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz. - Foto Farizul Hafiz Awang
Nik Abduh mendakwa ada pemimpin DAP yang menyatakan bahawa PAS akan dihukum rakyat berikutan isu Selangor yang sehingga kini masih tidak menentu.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menempelak sekutunya yang seolah-olah terlalu gembira dan megah bila mendapat kuasa.
"Gembira dan megah sangat bila sudah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli sudah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu," katanya.
Biarpun PAS sentiasa dibuli, katanya, parti itu tetap berjaya dalam hidupnya serta memenangi banyak pilihan raya dan memerintah beberapa negeri.
Beliau menjelaskan PAS juga parti yang tidak akan terkubur kerana nyawa dan ideologinya adalah Islam, malah sehingga kini masih belum kelihatan pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan PAS.
Kenyataan Nik Abduh itu merujuk kepada beberapa keadaan malang yang ditimpa PAS termasuk isu pengurangan jawatan EXCO Selangor yang diberi kepada PAS serta penggantungan tugas seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang juga Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

No comments:

Post a Comment