KIEV 2 Sept. - Pemberontak Ukraine pro-Rusia berjaya merampas kawalan ke atas lapangan terbang di Lugansk yang merupakan satu kedudukan strategik di timur negara ini.
Presiden Kiev, Petro Poroshenko berkata, pasukan keselamatannya terpaksa berundur dari sebuah lapangan terbang tempatan di selatan Lugansk dan kawasan perkampungan bersebelahan selepas tidak mampu lagi menangkis serangan meriam dan kereta kebal tentera Rusia.
"Ini merupakan satu tindakan agresif terhadap Ukraine dari negara jiran," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Valeriy Geletey berjanji untuk memperkuatkan pertahanan bagi menentang Rusia yang dilihat bukan sahaja berusaha untuk mengukuhkan kedudukan di kawasan yang dirampas oleh pemberontak tetapi mara ke beberapa wilayah lain di negara ini.
"Peperangan besar telah berlaku, situasi seumpama ini yang kali terakhir berlaku pada Perang Dunia Ke-2. Berpuluh-puluh ribu orang bakal terkorban," jelas Geletey dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya.
Agensi berita Rusia yang memetik kenyataan wakil pemberontak dalam pertemuan di Belarus meminta Kiev menyediakan `prosedur unik' ke atas wilayah Donetsk dan Lugansk bagi membolehkan mereka berhubung lebih rapat dengan Rusia.
Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini, menggesa supaya isu `status negara' perlu dibincangkan dalam pertemuan berhubung krisis yang sudah mengorbankan lebih 2,600 nyawa sejak pertengahan April lalu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140903/lu_06/Pemberontak-Ukraine-rampas-lapangan-terbang#ixzz3CC6uEd3T
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment