Wednesday, September 3, 2014

MB Selangor: Ulama PAS bidas pemimpin kanan parti



Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

KETUA Penerangan sayap PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. - Foto Fail NSTP/Izhari Ariffin
KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin Dewan Ulama PAS hari ini mendakwa ada pemimpin kanan parti itu memberi restu serta mengarahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar.
Ketua Penerangan sayap PAS itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan tindakan pemimpin kanan itu sebagai sangat menjengkelkan dan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu.
"Ada perkhabaran yang bersedia untuk dibuktikan bahawa tindakan kedua-dua ADUN itu adalah atas arahan dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat.
"Ini sudah tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras!" katanya dipetik dalam penulisan panjang lebar beliau bertajuk 'Ke Mana PAS Mahu dibawa' disiarkan blog rasmi PAS, hari ini.
Sebelum ini, dua ADUN berkenaan iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (ADUN Morib) secara terbuka menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Keputusan itu ternyata bertentangan dengan ketetapan dibuat PAS pada 17 Ogos lalu yang mahu dua nama dikemukakan kepada Istana untuk dipertimbangkan.
Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mempersoalkan sikap amanah yang ditunjukkan pemimpin kanan PAS itu yang disifatkannya boleh menjadi ikutan buruk kepada ahli bawahan.
"Sudahlah perbincangan di aplikasi WhatsApp dibocorkan. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat dibocorkan sewenang-wenangnya.
"Hatta perbezaan dan pertelingkahan dalam mesyuarat yang memang menjadi sebahagian resam mesyuarat diriwayatkan secara terperinci oleh media. Siapakah pembocor rahsia ini.
"Amanahkah mereka? Adakah ini kualiti pimpinan tertinggi PAS Pusat dari sudut akhlak berjemaah dan bermesyuarat?" katanya.
Beliau turut menempelak sikap 'double standard' pemimpin kanan PAS itu yang sering membangkitkan isu kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS setiap kali muktamar menjelang, dengan tujuan menimbulkan kesangsian terhadap Presiden PAS.

No comments:

Post a Comment