Wednesday, September 3, 2014

Pelajar kutuk Jogjakarta mungkin dijel enam tahun


JOGJAKARTA 2 Sept. - Seorang pelajar jurusan undang-undang Indonesia mungkin berdepan hukuman enam tahun penjara selepas dia ditangkap atas dakwaan menghina nama bandar Jogjakarta di laman web sosial, Path baru-baru ini.
Portal Mail Online melaporkan pelajar berkenaan, Florence Sihombing, 26, bertindak mengutuk bandar tersebut secara terbuka di internet selepas dia mengalami kesukaran mengisi minyak di sebuah stesen petrol di Jokjakarta.
Dalam kejadian itu, Florence dilaporkan bertindak memotong barisan panjang motosikal yang sedang menunggu untuk mengisi minyak bersubsidi dengan menukar kepada barisan minyak tanpa subsidi namun dia tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan tersebut.
Berang dengan kejadian tersebut, Florence kemudian menulis mesej di laman web berkenaan yang berbunyi, 'Jogja adalah miskin, bodoh dan tidak bertamadun. Rakan-rakan di Jakarta dan Bandung, tolong jangan tinggal di Jogja'.
Wanita itu turut menyiarkan rakaman videonya yang mengutuk bandar Jogjakarta yang menyebabkan dia menerima banyak komen negatif tentang hal itu.
Kenyataan itu turut disebarkan secara meluas di beberapa laman web sosial.
Polis Jogjakarta kemudian menahan Florence atas dakwaan melanggar undang-undang dan mencetuskan kemarahan serta fitnah berikutan rungutan ramai penduduk tempatan.
Kerajaan Indonesia memperuntukkan beberapa bilion dolar untuk subsidi petrol, namun disebabkan jumlah subsidi yang terhad bulan lalu menjadikan penduduk terpaksa beratur panjang di stesen petrol bagi mengisi minyak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140903/lu_07/Pelajar-kutuk-Jogjakarta-mungkin-dijel-enam-tahun#ixzz3CC7ah3zT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment