DAKAR - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran semalam tentang kebimbangan berlaku kekurangan bekalan makanan di negara-negara Afrika Barat yang paling teruk dilanda Ebola selepas wabak maut itu menyebabkan kekurangan tenaga buruh dan menjejaskan dagangan lintas sempadan.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menyatakan, sekatan perjalanan di Guinea, Liberia dan Sierra Leone mencetuskan pembelian panik, kekurangan bekalan makanan dan lonjakan harga terutamanya di kawasan bandar dan bandar raya.
"Akses makanan menjadi kebimbangan utama kepada orang ramai di tiga negara yang terjejas itu dan beberapa negara jirannya," kata pegawai FAO untuk Afrika, Bukar Tijani.
"Musim menuai kini terjejas ekoran kekurangan buruh selain penghantaran bekalan makanan turut disekat manakala kebimbangan berhubung kekurangan bekalan makanan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang.
"Situasi ini akan mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap kehidupan petani dan ekonomi luar bandar," tambahnya.
Dalam pada itu, wabak Ebola telah membunuh sejumlah 1,552 orang dan menjangkiti 3,062 lagi, menurut angka terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berdasarkan kadar jangkitan ketika ini, WHO menyatakan bahawa masa sembilan bulan dan peruntukan sekurang-kurangnya AS$490 juta (RM1.5 bilion) diperlukan untuk mengawal wabak tersebut.
Menjelang tempoh tersebut berakhir, lebih 20,000 orang mungkin terjejas akibat virus Ebola.
Amaran kekurangan makanan itu dikeluarkan selepas WHO mengumumkan wabak Ebola berasingan melanda Republik Demokratik Congo yang kini meragut 31 nyawa. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3CC8Ex200
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment