Wednesday, September 3, 2014

Polis Britain diberi kuasa rampas pasport



REUTERS
BEBERAPA anggota polis bersenjata berkawal di hadapan pejabat Perdana Menteri di Downing Street, London pada 1 September lalu.


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam mencadangkan undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada polis merampas pasport warga Britain yang ke luar negara untuk berjuang bersama kumpulan pengganas.
Bercakap di Parlimen di sini, Cameron berkata, kerajaannya juga merancang untuk menghalang pejuang jihad warga Britain daripada masuk semula ke negara itu selain memberi lebih banyak kuasa kepada pasukan keselamatan memantau suspek berkenaan yang berada di Britain.
Rancangan meluaskan undang-undang antipengganas itu yang dijangka diluluskan oleh Parlimen Britain, bertujuan untuk mengelakkan serangan militan Islam yang kembali selepas berperang di beberapa lokasi bermasalah di Asia Barat.
Setakat ini perkhidmatan perisikan dan keselamatan mengesyaki kira-kira 500 warga Britain telah pergi berperang di Syria dan Iraq.
Sebelum ini, Setiausaha Dalam Negeri Britain diberikan kuasa untuk menggantung pasport dalam kes tertentu tetapi Cameron berkata, lebih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan polis di pintu sempadan mempunyai masa mencukupi untuk bertindak apabila mereka mengesan seseorang suspek.
"Kita akan memperkenalkan undang-undang spesifik bagi mengatasi kelemahan sedia ada dengan memberikan polis kuasa sementara untuk merampas pasport di sempadan bagi memberi mereka masa menyiasat individu berkenaan," kata Cameron.
Pihak berkuasa pada Britain telah meningkatkan tahap amaran ancaman keganasan kepada kedua tertinggi pada Jumaat lalu berikutan krisis di Iraq dan Syria. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3CC86JV9B 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment