Tuesday, October 21, 2014

Adun Sri Muda Tarik Balik Rayuan Pertuduhan Hasutan


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 6:06 PM
Suhaimi Shafiei

PUTRAJAYA: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei pada Isnin menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan hasutan dihadapinya.

Peguam mewakilinya, Joshua Tay memaklumkan kepada mahkamah tentang penarikan balik rayuan itu, menyatakan anak guamnya telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 15 Sept lepas, untuk mencabar perlembagaan dan Akta Hasutan.

Panel lima anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dengan itu membatalkan rayuan itu.

Turut bersidang dalam panel itu ialah empat hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Mat Shuhaimi, 46, Adun daripada Parti Keadilan Rakyat, dihadapkan ke mahkamah pada 2011 atas pertuduhan memuat naik artikel berbaur hasutan dalam blognya, srimuda.blogspot.com berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam pada 30 Dis, 2010.

Pada 1 April, 2011, Mat Shuhaimi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di Shah Alam memohon pertuduhan hasutan terhadapnya dibatalkan atas alasan Akta Hasutan melanggar perlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 26 Ogos, 2011, menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu, dan beliau juga tidak berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak pada 17 Mei tahun lepas.

Di luar mahkamah, Tay memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Jan untuk mendengar permohonan Mat Shuhaimi mencabar Akta Hasutan.

Katanya pada 20 Mei tahun ini, Mahkamah Persekutuan menyatakan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan anak guamnya itu untuk membatalkan pertuduhan atas alasan perkara itu bermula di Mahkamah Sesyen dan perlu berakhir di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud.

No comments:

Post a Comment