KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam, bukan sahaja mendapat teguran daripada Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid malah ramai pengguna di laman sosial, Facebook turut melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap acara itu.
Mereka mengutuk dan mempersoalkan penganjuran kempen berkenaan yang dianggap tidak menghormati agama Islam serta merupakan antara agenda penyebaran fahaman liberalisme dalam kalangan masyarakat.
Antara pengguna yang kecewa dengan penganjuran berkenaan ialah Alan Alanla yang melahirkan kebimbangan jika penganjuran seperti itu dibiarkan dan tidak diambil tindakan.
“Ya, hari ini mereka main sentuh-sentuh...dan mungkin kita masih diam dan mereka akan cakap ‘ala itu kan makhluk Allah’. Betul memang betul malah ada kisah perempuan hina yang berikan ia (anjing) minum dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kalau nak tahu....Setan(syaitan) pun makhluk Allah,” katanya dalam laman Facebook di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook kaum Cina, Lew Ai Ling meminta masyarakat menjaga sensitiviti umat Islam.
“Apa yang haram tetap haram...Semak balik ajaran Islam dan jaga sensitiviti umat Islam walaupun seagama dengan-Nya,” katanya.
Turut menyokong, H. Amree Ahamad yang mendakwa program seumpama itu sering diadakan dengan bersandarkan hak asasi manusia.
“Secara kebetulan, semuanya atas nama hak asasi manusia. Mula-mula pesta bogel, kemudian pesta arak, selepas ini kempen sentuh anjing. Akhirnya mungkin ada pula kempen sentuh babi dan jom (mari) pergi murtad,” katanya.
“Mungkin sudah tiba masa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula dan Akta Hasutan terus diperkasa, jika tidak inilah bakal padahnya... fikir-fikir lah,” luahnya.
Ada juga pengguna yang sinis meminta pihak penganjur mengadakan acara kempen menyentuh haiwan lain seperti kucing berbanding anjing yang telah jelas hukumnya haram.
Hafiz Johari berkata, “ Kepada penganjur yang buat event (acara) pegang sentuh anjing ini, baik lah buat acara pegang sentuh kucing...orang kita ini kucing pun ada yang takut nak sentuh...tak haram dan haiwan kesayangan Nabi lagi...acara ini saja nak main-mainkan orang islam...yang perempuan paling banyak aku tengok tergedik-gedik dapat pegang anjing,” katanya.
Wahidah Abd. Majid pula menyatakan rasa bimbang apabila kanak-kanak yang masih bersekolah mempersoalkan hukum memegang haiwan berkenaan.
“Masalah juga pada saya...Si kecil dekat sekolah asyik bertanya...“Boleh ke ustazah?” Bukankah menimbulkan kekeliruan pada mereka yang baru nak kenal dunia,” soalnya.
No comments:
Post a Comment