BINTANG Hollywood ini sememangnya dikenali kerana trademark bibir seksinya. Selain bergelar pelakon, Angelina Jolie turut terlibat dalam kerja amal di negara bergolak dan dilantik sebagai Duta Khas serta merupakan bekas Duta Muhibah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Jolie terlibat secara aktif dengan kerja amal di wilayah bergolak
Jolie terlibat secara aktif dengan kerja amal di wilayah bergolak
Kehidupan Awal

Angelina Jolie Voight, puteri kepada pelakon, Jon Voight dan aktres, Marcheline Bertrand ini dilahirkan pada 4 Jun 1975 di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, beliau diletakkan di bawah jagaan ibunya selepas pasangan tersebut bercerai pada 1976.

Ketika berumur enam tahun, Jolie bersama ibu dan bapa tirinya berpindah ke Palisades, New York sebelum kembali semula ke Los Angeles kira-kira lima tahun kemudian.

Beliau nekad untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan dan memasuki Institut Teater Lee Strasberg, di mana Jolie dilatih selama dua tahun serta pernah terlibat dalam beberapa produksi pentas.

Ketika berumur belasan tahun, beliau juga pernah menjadi model fesyen di Los Angeles, New York dan London.

Siapa sangka pelakon ini pernah mengalami episod kemurungan ketika remaja sehingga awal usia 20-an.

Mula bersinar

Bintang Jolie mula bersinar selepas beliau memulakan karier profesionalnya sebagai pelakon utama pada 1993 menerusi sekuel sains fiksyen, Cyborg 2 dan disusuli dengan beberapa filem lain.

Pada 1998, lakonan mantapnya menerusi filem berjudul Gia yang memaparkan kisah tragik model Gia Marie Carangi telah melayakkan beliau untuk menerima anugerah Aktres Terbaik Anugerah Golden Globe.

Kira-kira setahun kemudian, Jolie berjaya memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Girl, Interrupted.

Beliau terus diberi kepercayaan untuk memegang watak mencabar dalam pelbagai genre filem seperti Lara Croft: Tomb Raider (2001), Taking Lives (2004), Mr and Mrs Smith (2005) dan The Good Shepherd (2006).

Pada 2007, Jolie tampil cemerlang menerusi filem A Mighty Heart dan beliau terus beraksi cemerlang di bawah filem thriller di bawah arahan Clint Eastwood berjudul Changeling.

Aktres berbakat besar itu turut memegang watak ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Evelyn Salt menerusi filem penuh aksi, Salt pada 2010.

Pada tahun sama, Jolie tampil menerusi filem The Tourist bersama aktor, Johnny Depp dan disusuli filem Maleficent sebagai pari-pari antagonis.

Dekati golongan pelarian

Hati wanitanya terusik dengan kesan krisis kemanusiaan ketika menjalani penggambaran Lara Croft: Tomb Raider di wilayah bergolak Kemboja pada 2001.

Susulan daripada itu, Jolie mula terlibat dengan kerja amal dan melawat sendiri ke kem pelarian di seluruh dunia.

Beliau menyertai misi kemanusiaan pertama selama 18 hari di Sierra Leone dan Tanzania bersama UNHCR.

Beberapa bulan kemudian, Jolie kembali semula ke Kemboja dan turut bertemu dengan pelarian Afghanistan di Pakistan, di mana beliau bermurah hati mendermakan AS$1 juta (RM3 juta) kepada tabung kecemasan UNHCR.
Jolie dilantik sebagai Duta Muhibah UNHCR di Geneva di atas sumbangan beliau menerusi kerja amal dan misi kemanusiaan.
Selepas lebih sedekad, Jolie dinaikkan pangkat sebagai Duta Khas PBB pada 17 April 2012 yang berperanan besar untuk membantu golongan pelarian.
Beliau mengadakan lawatan pertama ke Ecuador, di mana Jolie bertemu dengan pelarian Colombia.
Wanita tersebut turut turun padang bersama Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Gutteres ke Jordan, Lubnan, Turki dan Iraq.
Tahun lalu, usaha kerasnya berkempen menuntut hak asasi pelarian di seluruh dunia diiktiraf selepas beliau menerima Anugerah Kemanusiaan Jean Hersholt dari Akademi Sains dan Seni Filem AS.