Friday, October 17, 2014

China hantar ubat Ebola ke Afrika



GAMBAR fail 3 September lalu menunjukkan seorang pengawal keselamatan menggunakan termometer untuk mengukur suhu badan seorang lelaki di luar bangunan kerajaan di ibu negara Sierra Leone, Freetown.- Agensi


SHANGHAI – Sebuah syarikat farmaseu­tikal China yang mempunyai hubungan dengan tentera menghantar sejenis ubat demam Ebola ke Afrika untuk kegunaan pekerja bantuan China, sekali gus menguji keberkesanannya dalam memerangi wabak berke­naan, kata beberapa eksekutif syarikat itu semalam.
Ketua Eksekutif Sihuan Pharmaceutical Holdings Group Ltd, Jia Zhongxin berkata, syarikat­nya membekalkan beberapa ribu dos ubat berkenaan, JK-05 ke rantau Afrika Barat.
“Bekalan tersebut akan ditambah sekiranya perlu,” katanya.
Ubat JK-05 bagaimanapun ma­sih di peringkat ujian klinikal dan belum pernah diuji pada manusia.
“Pekerja bantuan telah membawa bekalan ubat tersebut. Ia akan digunakan jika terdapat jangkitan antara mereka,” tambah Huo Caixia yang merupakan pembantu pengurus besar Sihuan
Sihuan yang sebahagiannya di­miliki oleh bank pelaburan Morgan Stanley, berharap dapat segera menggunakan ubat tersebut dalam kalangan orang awam di China.
Syarikat itu telah menandatangani satu perjanjian bersama Akademi Sains Perubatan Tentera (AMMS) untuk mendapatkan kelulusan penggunaan JK-05 di China.
Ubat berkenaan yang hanya diluluskan untuk kegunaan tentera pada awalnya dibangunkan oleh MMS.
Jika ia terbukti berkesan mengubati Ebola, JK-05 bukan sahaja menjadi hadiah besar untuk sektor perubatan China, malah ia akan membantu meluaskan pengaruh negara komunis itu di Afrika.
Benua berkenaan merupakan rakan penting kepada China yang merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia.
Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta warga China di Afrika dengan 10,000 orang menetap di tiga negara yang paling teruk terjejas akibat Ebola iaitu Sierra Leone, Guinea dan Liberia.
China menghantar beratus-ratus pekerja bantuan ke Afrika untuk membantu memerangi wabak maut itu.
Wabak Ebola telah membunuh lebih 4,000 orang setakat ini.
Perkembangan tersebut mendorong dan syarikat farmaseutikal di seluruh dunia kini berlumba-lumba untuk menghasilkan ubat yang dapat merawat Ebola. Wabak itu telah menular dari Afrika Barat hingga ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pada masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berikrar akan mengambil langkah lebih agresif dalam memerangi epidemik itu.
Obama menyatakan demikian selepas jururawat kedua di bandar raya Dallas, dalam negeri Texas telah dijangkiti virus Ebola.
Menurut laporan media, jururawat tersebut Amber Joy Vinson diberi kelulusan untuk menaiki penerbangan sebelum dia didiagnosis dengan penyakit tersebut.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr. Tom Frieden berkata, Vinson tidak sepatutnya dibenarkan menaiki pesawat komersial kerana dia terdedah kepada virus itu semasa menjaga seorang pesakit Ebola yang mengunjungi AS dari Liberia, Thomas Eric Duncan.
Sebelum ini, seorang lagi jururawat yang menjaga Duncan, Nina Pham telah dijangki virus maut itu.
Mereka kini diberi rawatan di AS dan diasingkan daripada pesakit lain. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3GM1Ub55F 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment