THE HAGUE: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin dari Russia bagi menggesa negara berkenaan memberi kerjasama maksimum dalam penyiasatan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.
"Saya baharu saja bercakap dengan Putin di Milan dan menggesa kerjasama maksimum dalam menyelesaikan bencana MH17," kata Rutte dalam tweetnya, yang dipos ke laman sosial Twitter lewat malam tadi.
Media Belanda berkata Rutte bercakap dengan Putin ketika menghadiri sidang kemuncak Asia-Eropah (ASEM) yang bermula di Milan semalam.
"Ia adalah perkara menyentuh perasaan dan sudah tentunya saya marah dengan semua pihak yang menghalang kerja di tempat kejadian," kata Rutte dalam laman Facebooknya.
Bagaimanapun, tambahnya, sekarang terpulang kepada negara terbabit untuk mencapai matlamatnya.
"Saya akan guna apa juga peluang untuk menarik perhatian kepada isu ini," kata beliau.
Isnin lalu empat pakar Belanda kembali ke tempat kejadian di wilayah dikuasai pemberontak pro-Russia di timur Ukraine, tetapi pegawai Belanda mengadu tidak ada akses mudah ke tempat kejadian.
Pakar forensik Belanda menangguhkan usaha pencarian di kawasan berkenaan pada awal Ogos lalu kerana pertempuran di kawasan terbabit antara Kiev dan pemisah pro-Russia. - AFP
No comments:
Post a Comment